Berita Harian

Syarat ambil jurulatih import diperketat

Inisiatif PJBM elak lambakan pengendali luar dalam Liga M

- Oleh Mohd Fitrie Muhamad

Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) akan mengemukak­an beberapa kriteria kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang perlu dipatuhi pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebelum mengambil jurulatih import.

Inisiatif itu dilihat bagi mengelak berlaku lambakan jurulatih luar negara dalam saingan Liga M dan menghalang daripada berlaku penipuan membabitka­n kelayakan seperti penggunaan sijil kejurulati­han ‘koboi’.

Presiden PJBM, B Sathianath­an berkata, pasukan juga perlu memberi kerjasama dengan memilih jurulatih terbaik dan bukannya sekarang tangkap muat.

“Kita mahu cadang seseorang jurulatih boleh datang ke sini sekiranya dia pernah menjawat jawatan ketua jurulatih pasukan utama. Jika dia (jurulatih) pernah bekerja di Bundesliga, Liga Perdana Inggeris, mana-mana pasukan utama di Eropah atau divisyen dua, kita benarkan mereka ke sini.

“Tetapi jika dia datang sebagai jurulatih divisyen kelima atau keenam, adakah kita boleh benarkan dia ke Malaysia? Kelab kalau mahu pilih, sila buat pilihan terbaik.

Hapus lesen ‘Ali Baba’

“Sebelum tandatanga­n, rujuk kepada kita sijil berkenaan, sama ada sah atau pun tidak,” katanya ketika Majlis Penutup Simposium Kejurulati­han Bolasepak Belia, semalam.

Bagi memastikan jurulatih yang mempunyai kelayakan saja dapat membimbing pasukan dalam Liga M, pasukan tempatan juga boleh merujuk kepada FAM dan Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Malah Sathianath­an sebelum ini pernah mengakui terdapat beberapa kes apabila ada jurulatih yang tidak mempunyai sijil kelayakan atau lesen A tetapi dilantik sebagai ketua jurulatih.

FMLLP juga bertegas tindakan penggantun­gan bakal dikenakan kepada pasukan yang didapati bersekongk­ol dengan aktiviti menyewa lesen ‘A’ jurulatih atau ‘Ali Baba’ lesen berkenaan bagi kegunaan jurulatih yang mereka lantik.

“Kita perlu lindungi integriti kerja sebagai jurulatih. Apabila kita ambil jurulatih import, mereka patut jadi lebih baik dan contoh,” kata Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia