Berita Harian

NGO lega tanah FELDA dikembalik­an

Mahu pihak berkuasa jalankan siasatan terperinci, bawa pesalah ke muka pengadilan

- Oleh Siti Nur Mas Erah Amran dan Rashiqah Ilmi Abd Rahim

FELDA serius menangani isu kepentinga­n dan kepercayaa­n peneroka apabila berjaya menyelesai­kan isu pindah milik tanahnya di Jalan Semarak di sini, semalam.

Pada masa sama, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agensi itu mahu mereka yang terbabit dengan pindah milik tanah itu dikenakan tindakan.

Secara keseluruha­n, mereka puas hati dengan keputusan Synergy Promenade Sdn Bhd yang menyerahka­n semula tanah kontrovers­i FELDA yang dibangunka­n sebagai Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) semalam.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata isu itu mendapat liputan meluas selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahka­n pihak berkuasa menjalanka­n siasatan terperinci.

Katanya, penyerahan semula tanah itu menunjukka­n FELDA serius dalam menangani masalah membabitka­n hak dan kepercayaa­n peneroka.

“Peneroka berhak tahu bagaimana penyelewen­gan ini boleh berlaku dan bagaimana untuk memastikan isu ini tidak berulang lagi.

“Kita berharap kepemimpin­an FELDA dapat memberikan penjelasan berhubung isu ini dan tindakan yang akan diambil untuk menyelesai­kan kemelut dihadapi,” katanya ketika dihubungi BH , di sini, semalam.

Ketepi pandangan peneroka

Rozali berkata, kepemimpin­an FELDA sebelum ini sering membuat keputusan terhadap apa-apa perkara tanpa mengambil kira pandangan peneroka atau generasi FELDA.

Susulan itu, katanya, GWGF sebagai mewakili generasi FELDA mahu mengetahui pihak FELDA yang terbabit membuat keputusan pindah milik tanah ini.

“Sejak kebelakang­an ini, isu pelaburan yang dibuat FELDA tidak pernah menitikber­atkan pandangan peneroka dan generasi FELDA.

“Kita harap perkara ini tidak berulang lagi dan elakkan mengambil hak orang FELDA dengan sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan, berkata siasatan harus diteruskan bagi memastikan pihak yang bersalah menerima hukuman sewajarnya.

“Kes ini tidak boleh ditutup begitu saja kerana sesiapa yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Jadikan isu ini sebagai pedoman kepada pemegang amanah yang lain bagi membuktika­n tiada kompromi untuk melindungi pesalah yang melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa,” katanya.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap pula memuji tindakan pantas FELDA berusaha mendapatka­n kembali tanah yang ditukar milik menerusi transaksi diragui sejak tahun 2015 itu.

Beliau yang juga bekas Presiden MBFM berkata, isu polemik itu menimbulka­n kebimbanga­n dalam kalangan peneroka.

“Secara tidak langsung, kita rasa selamat apabila mengetahui tanah itu dikembalik­an dan diharapkan pihak pengurusan FELDA akan lebih berhati-hati dalam apa juga urusan terutamany­a membabitka­n aset besar dan milikan yang lain.

“Unit perundanga­n FELDA juga perlu lebih peka supaya isu sebegini tidak berulang lagi terhadap mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berurusan dengan pihak FELDA.

“Saya berharap siasatan telus dapat diteruskan walaupun tanah terbabit sudah dikembalik­an,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia