Berita Harian

Operasi mencabar 40 jam berakhir

100 anggota penyelamat berjaya bawa turun jenazah pendaki Azlan Yahya ke kaki gunung

- Oleh Siti Azila Alias

Kira-kira 100 anggota penyelamat, mengambil masa hampir 40 jam, sebelum berjaya membawa turun mayat seorang pendaki yang maut akibat terjatuh ketika menuruni puncak Gunung Nuang di sini.

Mayat ahli perniagaan, Azlan Yahya, 47, yang terjatuh di kawasan puncak pada Sabtu lalu, tiba di kaki gunung jam 6.05 pagi semalam, sebelum dibawa dengan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke Hospital Serdang.

Laluan licin, curam

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pasukan penyelamat berdepan cabaran membawa turun mangsa berikutan keadaan laluan yang licin melalui cerun curam di antara 80 hingga 90 darjah, selain hutan tebal.

Katanya, hujan sejak beberapa hari lalu menambahka­n lagi kesukaran apabila laluan basah membuatkan pergerakan mereka terhad, manakala anggota terbabit keletihan kerana bertugas sejak operasi bermula Sabtu lalu.

“Pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa terjatuh pada jam 7.30 pagi semalam (kelmarin) dan usaha membawa turun dari Kem Pengasih ke Kem Pacat bermula pada jam 2 petang dan tiba di sana pada jam 6.30 petang.

“Pada jam 4 pagi tadi (semalam), pasukan tiba di Kem Lolo dan mangsa dibawa menaiki pacuan empat roda ke kaki gunung dan tiba pada jam 6.05 pagi,” katanya.

Mangsa dikatakan mendaki gunung itu bersama beberapa rakan dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan turun selepas bermalam di puncak yang berketingg­ian 1,498 meter sejak Jumaat lalu.

Namun, ketika melalui satu laluan curam, mangsa tergelinci­r dan terjatuh ke dalam gaung kira-kira 100 meter dari puncak gunung itu, sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan di kepala oleh rakannya.

Allahyarha­m Azlan adalah adik bongsu kepada Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam, Profesor Dr Azizul Halim Yahya.

Jenazahnya dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Gombak, sebaik dituntut ahli keluarga.

 ?? [FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] ?? Anggota penyelamat membawa mayat Azlan keluar dari Gunung Nuang, Hulu Langat pada jam 6.05 pagi, semalam.
[FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] Anggota penyelamat membawa mayat Azlan keluar dari Gunung Nuang, Hulu Langat pada jam 6.05 pagi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia