Berita Harian

Pemilik sedia jual kereta hadiah

Ajak waris Ismail bincang penuhi hasrat arwah

- Oleh Nur Syazwana Mansor

Pemilik Proton Saga yang membeli kereta nasional itu daripada Staf Sarjan (B) Ismail Jaafar, sedia memenuhi amanat terakhir arwah untuk melihat kenderaan istimewa itu kembali kepada keluarga bekas tentera berkenaan.

Che Far Talib, 66, berkata beliau sedia menjual semula kereta itu yang dibelinya daripada seorang ejen di Sungai Petani sekitar 1991 kepada ahli keluarga arwah.

Justeru, beliau mengalu-alukan ahli keluarga Ismail ke rumahnya di Kampung Bendang Raja, Mukim Rambai, jika mereka mahu berbincang mengenai perkara itu.

“Saya sayang kereta ini kerana kenderaan pertama saya beli. Kalau orang sebarangan nak beli, saya tak akan jual, namun jika benar itu hasrat arwah (Ismail), keluargany­a boleh datang berbincang.

“Kereta itu saya beli ketika isteri, Roziyah Che Ani, 63, mengandung­kan anak bongsu kami yang kini berusia 26 tahun.

Tak tahu sejarah kereta

“Saya langsung tak tahu sejarah kereta itu sehingga beberapa tahun lalu, seorang lelaki mendakwa kenal pemilik asalnya,” katanya.

Ismail yang mencipta nama Proton Saga meninggal akibat sakit tua pada petang Jumaat lalu di rumahnya di Sungai Petani.

Arwah sebelum itu menyuaraka­n hasrat supaya anaknya mencari semula kereta itu yang dimenangin­ya pada 1985.

Che Far yang bekerja sebagai petani, berkata beliau teruja mendengar cerita lelaki yang mendakwa rakan pemilik asal kereta itu kerana tidak menyangka Proton Saga yang dibelinya pernah menjadi milik pencipta nama kereta itu sendiri.

“Kereta ini banyak memudahkan urusan seharian, saya guna angkut barang untuk ke sawah. Kini, saya sudah beli Toyota Hilux,” katanya.

Cha Far berkata, Proton Saga itu sudah jarang digunakan, namun kerana masih sayangkann­ya, ia tetap dijaga dengan baik.

“Ia sudah diubah suai dan dicat mengikut peredaran zaman, malah saya membelanja­kan hampir RM10,000 bagi menukar enjin dan membuat sedikit penambahba­ikan sehingga ia masih boleh digunakan sehingga kini.

“Kereta ini saya sifatkan ‘pandai jaga tuan’ kerana tidak pernah rosak atau meragam sebarangan walaupun kereta terpakai,” katanya.

 ?? [FOTO NUR SYAZWANA MANSOR/BH] ?? Che Far menjaga dengan baik kereta Proton Saga yang pernah dimiliki arwah Ismail.
[FOTO NUR SYAZWANA MANSOR/BH] Che Far menjaga dengan baik kereta Proton Saga yang pernah dimiliki arwah Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia