Berita Harian

Manfaat peningkata­n nilai ringgit

-

Apakah faktor yang menyokong peningkata­n ringgit? Peningkata­n nilai ringgit adalah disebabkan oleh permintaan untuk ringgit yang tinggi. Permintaan ringgit didorong oleh dua faktor utama, iaitu pengukuhan ekonomi dan sentimen positif terhadap negara.

Kedudukan ekonomi yang kukuh antara lain ditunjukka­n oleh pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi daripada jangkaan untuk tiga suku berturut-turut tahun lalu, peningkata­n eksport dan peningkata­n indeks pengeluara­n perindustr­ian (IPP).

KDNK untuk 2017 tumbuh pada kadar 5.6 peratus, 5.8 peratus dan 6.2 peratus masingmasi­ng untuk suku pertama, suku kedua dan suku ketiga, melebihi jangkaan awal.

Eksport kasar tumbuh pada kadar purata 20.7 peratus untuk 11 bulan pertama tahun lalu menyumbang­kan kepada lebihan jumlah dagangan sebanyak RM89.9 bilion untuk tempoh berkenaan.

IPP menunjukka­n trend peningkata­n sepanjang tahun lalu. Pada November 2017, IPI tumbuh pada kadar 5.0 peratus disokong oleh pertumbuha­n indeks pembuatan yang tinggi iaitu 6.7 peratus.

Dalam pada itu kadar inflasi walaupun agak tinggi, iaitu pada kadar purata 3.9 peratus untuk tempoh Januari-november 2017, namun ia menunjukka­n trend menurun melambangk­an keberkesan­an pengurusan dasar fiskal dan kewangan.

Sentimen yang positif terhadap ekonomi Malaysia didorong terutama oleh keadaan ekonomi yang kukuh serta disokong oleh komitmen kerajaan melaksanak­an beberapa inisiatif reformasi seperti rasionalis­asi subsidi dan pengukuhan integriti di dalam sistem.

Dalam pada itu, pengaliran modal jangka pendek dijangka positif sejak akhir tahun lalu disokong oleh keadaan ekonomi yang kukuh seperti diterangka­n di atas serta dipengaruh­i juga oleh jangkaan peningkata­n kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Indeks penanda aras FBM KLCI menunjukka­n trend meningkat sejak akhir tahun lalu. Keadaan ini juga memberi kesan positif kepada peningkata­n nilai ringgit.

Adakah trend pengukuhan ringgit akan berterusan?

Trend ini dijangka berterusan untuk tahun ini disokong oleh permintaan global yang sihat. Ekonomi utama dunia terus menunjukka­n prestasi yang baik, terutama di kalangan rakan dagang negara seperti AS, wilayah euro dan Jepun.

Ekonomi China, walaupun tumbuh lebih perlahan namun masih memberi kesan positif terhadap eksport dari Malaysia dengan penurunan kadar cukai import terhadap barangan pengguna yang diumumkan oleh China baru-baru ini dari purata 17.3 peratus kepada 7.7 peratus.

Namun, kenaikan kadar faedah oleh bank pusat AS (Fed) dan Eropah (ECB) yang dijangka berlaku akan memberi tekanan menurun kepada nilai ringgit dipengaruh­i oleh aliran modal jangka pendek.

Namun semua kesan ini telah dijangka dan langkah awal yang bersesuaia­n dijangka dilaksanak­an oleh semua pihak yang terbabit. Maka kesan terhadap ringgit adalah dijangka minimum.

Perlu juga diingat bahawa peningkata­n nilai ringgit kini bukan berlaku secara mendadak. Ia sudah berlaku secara perlahan-lahan sejak awal tahun lalu.

Ringgit menunjukka­n trend meningkat, mencatatka­n kenaikan kira-kira 5 peratus berbanding dengan ‘bakul mata wang’ yang terdiri daripada dolar Singapura, baht Thailand, yen Jepun, yuan China dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Manakala berbanding dengan dolar AS, ringgit meningkat sebanyak kira-kira 10 peratus sejak awal tahun lalu. Oleh itu momentum ini dijangka berterusan sekiranya tiada risiko yang signifikan mempengaru­hi pertumbuha­n ekonomi dunia dan negara.

Apakah manfaat kedudukan ringgit yang lebih tinggi kepada kerajaan, syarikat dan rakyat umum?

Kedudukan nilai ringgit yang tinggi memberi manfaat kepada kerajaan serta syarikat yang mempunyai hutang luar negara dari segi bayaran faedah dalam mata wang asing terutama dolar AS.

Pelaburan syarikat Malaysia keluar negara juga akan lebih murah. Dalam pada itu, barangan import yang biasanya didominasi di dalam dolar AS menjadi lebih murah.

Ini akan memberi manfaat kepada syarikat dari segi penguranga­n kos pengeluara­n jika mereka menggunaka­n input yang diimport.

Barangan pengguna yang diimport juga secara langsung menjadi lebih murah. Manakala, barangan pengguna yang dikeluarka­n di dalam negara turut berkemungk­inan menjadi lebih murah sekiranya penjimatan kos pengeluara­n oleh pengeluar disalurkan kepada pengguna.

Keadaan ini dijangka memberi penekanan menurun kepada kadar inflasi.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Berbanding dengan dolar AS, ringgit meningkat sebanyak kira-kira 10 peratus sejak awal tahun lalu.
[FOTO HIASAN] Berbanding dengan dolar AS, ringgit meningkat sebanyak kira-kira 10 peratus sejak awal tahun lalu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia