Berita Harian

Kepemimpin­an polis wanita dalam PBB diperkasa

43 pegawai kanan sertai kursus sebelum dipanggil berkhidmat

- Oleh Nur Afiradina Arshad bhnews@bharian.com.my

Seramai 43 pegawai kanan polis wanita dari 22 negara, menyertai Kursus Pembanguna­n Kepemimpin­an bagi memperkasa peranan mereka dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB).

Peserta terbabit menyertai kursus berkenaan bermula semalam hingga 20 Januari ini yang dijalankan Kolej Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Narenasaga­ran Thangavelo­o, berkata Malaysia menghantar 11 pegawai kanan wanita bagi mempersiap siaga diri sebelum dipanggil berkhidmat dengan PBB.

Imbangi peranan

“Ini kali yang kedua kursus ini dianjurkan dan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

“Program ini juga satu platform mengimbang­i peranan wanita dalam PBB bagi memenuhi keperluan dalam setiap misi,” katanya pada sidang media di Majlis Pembukaan Kursus Pembanguna­n Kepemimpin­an Pegawai Kanan Polis Wanita, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pesuruhjay­a Polis, Jabatan Misi Keamanan PBB, Luis Carrilho, Pesuruhjay­a Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia Bentley (dua kanan) dan Komandan Maktab PDRM, Datuk Yong Lei Choo.

Thangavelo­o berkata, ketika ini PBB melihat banyak penyertaan daripada pegawai lelaki berbanding wanita, sedangkan ada beberapa tugasan memerlukan peranan kaum hawa untuk mengetuai misi berkenaan.

“Ada beberapa tugasan bersesuaia­n dengan wanita kerana mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Jadi apabila pegawai lelaki yang ditugaskan, ia agak sukar menjalanka­n misi bantuan,” katanya.

Katanya, program ini bagi mengenal pasti pegawai wanita yang berkelayak­an dan melatih mereka supaya dapat menyertai misi PBB.

“Menerusi kursus ini, mereka akan dilatih dalam pelbagai aspek kepemimpin­an kerana kita mahu mereka mampu mengetuai manamana misi yang akan diadakan,” katanya.

Ruang kongsi idea

Sementara itu, peserta Malaysia, Penolong Pengarah (Pembanguna­n Kerjaya) Bahagian Sumber Dasar, Asisten Komisioner Chin Hak Ying, berkata program itu membantu membentuk jaringan hubungan dengan pegawai dari negara lain.

“Kursus ini adalah ruang berkongsi idea dan kepemimpin­an masing-masing kerana sebelum ini peluang sebegini jarang dibuka.

“Melihat kepada misi PBB, kebanyakan kawasan membabitka­n mangsa wanita dan kanak-kanak, justeru, ia membuatkan khidmat petugas wanita adalah yang terbaik,” katanya.

Komander Imigresen China, Sui Ya Hui, berharap kursus yang dilaluinya di Malaysia membantu menambah pengetahua­n dalam bidang kepemimpin­an.

“Banyak yang saya pelajari daripada kursus ini. Antaranya cabaran bekerja dengan anggota dari negara berbeza dan berharap kursus ini mencapai matlamat yang PBB mahukan,” katanya.

 ?? [FOTO ROSELA ISMAIL/BH] ?? Thangavelo­o (kiri) beramah mesra dengan Carrilho pada majlis pelancaran Kursus Pembanguna­n Kepemimpin­an Pegawai Kanan Polis Wanita di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO ROSELA ISMAIL/BH] Thangavelo­o (kiri) beramah mesra dengan Carrilho pada majlis pelancaran Kursus Pembanguna­n Kepemimpin­an Pegawai Kanan Polis Wanita di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia