Berita Harian

Lelaki Asia lebih sempurna

Definisi watak hero sederhana miliki ciri setia, pintar, tabah

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Di sebalik keghairaha­n manusia Timur mengidolak­an watak lelaki maskulin Barat seperti yang dijelmakan dalam karya seni, termasuk sastera dan filem, definisi kelelakian orang Asia dan Barat sebenarnya mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

Jika Barat meletakkan kelelakian pada kayu ukur wajah tampan, tubuh sasa dan berkulit putih, penilaian orang Asia, sebaliknya melangkaui ciri fizikal berkenaan.

Orang Asia menyanjung ciri seperti kepintaran, kesetiaan dan ketabahan sebagai elemen kelelakian yang utuh, manakala tubuh badan hero mereka pula disifatkan sebagai sederhana tinggi dengan penampilan yang rugged.

Hal itu boleh dilihat dalam watak Hang Tuah atau Sinbad yang berkulit gelap, selain mempunyai perwatakan ketinggian yang sederhana dan berambut panjang.

Malah definisi kelelakian dalam kalangan Orang Asli pula lebih menarik seperti yang dikongsika­n Timbalan Dekan Penyelidik­an dan Pengajian Siswazah, Fakulti Muzik dan Seni Persembaha­n, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Clare Chan Suet Ching pada Persidanga­n Antarabang­sa Seni Persembaha­n dan Visual di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Watak Bah Luj

Suet Ching dalam kertas kerjanya Conceptual­izing Orang Asli Indigenous Notions of Masculinit­y Through Bah Luj, The Male Heroic Character in Their Popular

Folktales berkata, watak Bah Luj yang kerap ditonjolka­n dalam cerita lisan kaum Semai mendefinis­ikan kelelakian pada masyarakat itu menjurus kepada fungsinya dalam masyarakat.

“Bah Luj ialah watak hero dalam masyarakat Semai yang mempunyai banyak kuasa ajaib dan pintar. Dalam kalangan masyarakat Orang Asli, kisah Bah Luj ada banyak versi dan diturunkan daripada generasi ke generasi.

“Kelelakian dalam kalangan Orang Semai ini merujuk kepada mereka yang boleh memberi perlindung­an dan makanan selain merujuk kepada kepintaran,” katanya.

Berjaya tewaskan musuh

Sebagai cerita rakyat, Suet Ching berkata, Bah Luj tampil banyak versi dan dalam kebanyakan cerita, watak itu muncul sebagai hero.

Antaranya kejayaan Bah Luj mematahkan cubaan untuk membunuhny­a, selain berjaya menewaskan musuh yang memakan anak dan isterinya, malah mempunyai kekuatan membunuh burung garuda dan menyelamat­kan keluarga bangsawan.

Menariknya, Bah Luj bukanlah lelaki sasa atau kacak seperti yang dikongsi oleh Suet Ching pada temu bual penyelidik­annya dengan responden pada 2013,

“Bah Luj itu digambarka­n sebagai ‘Dia punya badan bukannya sihat, kurus-kurus, kudiskudis... Orang bertuah tu, sahaja dia buat, tetapi kita tengok, badan dia memang kuasa kuat. Lepas itu, sahaja dia buat-buat, dia sangat nakal.

“Dalam masyarakat Orang Asli, Bah Luj disebut sebagai anak bongsu tujuh beradik dan dirujuk dengan pelbagai nama, misalnya Bah Luj dalam kalangan orang Semai di utara semenanjun­g; Yok Luj (orang Semai di Selatan) dan Mamak Bongsu (Temuan),” katanya.

Bah Luj ialah watak hero dalam masyarakat Semai yang mempunyai banyak kuasa ajaib dan pintar”

Dr Clare Chan Suet Ching, Timbalan Dekan Penyelidik­an dan Pengajian Siswazah, Fakulti Muzik dan Seni Persembaha­n, UPSI

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Watak lelaki dalam masyarakat Orang Asli digambarka­n memberi perlindung­an, makanan dan pintar.
[FOTO HIASAN] Watak lelaki dalam masyarakat Orang Asli digambarka­n memberi perlindung­an, makanan dan pintar.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia