Berita Harian

Zaidatul berdebar tunggu senarai

- Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli masih menanti penuh debar sama ada terpilih mewakili negara di Sukan Komenwel di Gold Coast, April ini dan Sukan Asia di Jakarta Ogos nanti.

Dia yang belum pernah merasai bahang dua saingan itu kini giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatihn­ya, M Balamuruga­n di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

“Setakat ini saya hanya tumpu pada latihan saja. Saya dan yang lainlain hanya menunggu keputusan daripada MSN, KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

“Jadi buat masa sekarang, saya hanya menjalani latihan keras dengan jurulatih. Sekiranya nama saya disenaraik­an dalam manamana kejohanan termasuk Sukan Komenwel atau Sukan Asia, saya akan pergi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berbaki tiga bulan sebelum tirai Sukan Komenwel disingkap secara rasminya pada 4 April ini, KOM masih belum mengumumka­n secara rasmi nama atlet yang bakal memikul cabaran Malaysia di Australia nanti.

MOM umum senarai

Difahamkan pada mesyuarat badan induk olahraga itu 5 Januari lalu, KOM sudah mengenal pasti 18 atlet terbaik kebangsaan yang dipilih berdasarka­n merit dengan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mengetuai senarai itu.

Selain Khairul Hafiz, Zaidatul, Rayzam Shah Wan Sofian, Lee Hup Wei, Iskandar Alwi, Jackie Wong dan Nixson Kennedy adalah antara atlet yang berada dalam senarai yang dicadangka­n.

Juga tersenarai, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nauraj Singh, Norliyana Kamarudin, Muhammad Hakimi Ismail dan Muhammad Irfan Shamsuddin.

Bagaimanap­un, semua calon itu belum dimuktamad­kan lagi apabila perlu menjalani saringan akhir oleh MOM bagi menentukan jumlah atlet layak.

Zaidatul, 25, yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, mengakui teringin untuk beraksi di salah satu temasya itu.

 ??  ?? Zaidatul Husniah Zulkifli
Zaidatul Husniah Zulkifli

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia