Berita Harian

Integriti, kesihatan calon BN ditapis

Unit khas parti dengan kerjasama SPRM pastikan individu bebas kes rasuah, salah guna kuasa dipilih

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang menjalani proses tapisan integriti dan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tapisan itu dilakukan oleh unit khas dalam BN dengan bantuan agensi berkaitan kerajaan khasnya, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, integriti menjadi perkara utama dalam pemilihan calon termasuk mengambil kira latar belakang mereka, sama ada mempunyai rekod kes rasuah, salah guna kuasa atau sahsiah, yang bertentang­an dengan perundanga­n.

“Dalam perkara ini, pengundi akan melihat personalit­i seseorang itu (maka) ia (calon) mesti bersih. Seseorang calon bukan saja mesti bersih tetapi mesti kelihatan bersih.

“Kepada calon BN, biarpun negeri sudah menghantar sepenuhnya nama calon untuk kerusi Parlimen dan DUN, namun beberapa usaha tapisan terhadap integriti sedang dilakukan sepenuhnya.

“Ia termasuk tapisan dalam laporan kesihatan agar tidak berlaku pilihan raya kecil (PRK) dalam waktu terdekat selepas PRU.

Kajian secara empirikal

“Kita ucapkan selamat tinggal (kepada calon yang gagal tapisan integriti). Kita menekankan soal integriti kerana walaupun ia sangat abstrak tetapi boleh dilakukan kajian secara empirikal,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Diskusi Intelektua­l ‘Membina Negara Bangsa Berintegri­ti’ Dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Ahli panel diskusi itu ialah Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Pensyarah Kanan, Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITRA) UM, Dr Wendy Yee Mei Tien.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya seseorang calon gagal melepasi tapisan integriti, BN masih mempunyai calon pengganti, kerana parti mempunyai calon simpanan bagi setiap kerusi yang akan ditandingi.

“Bagi kerusi DUN dan Parlimen, kita ada senarai (nama) yang dikemukaka­n oleh bahagian, perhubunga­n negeri dan pengerusi parti komponen BN yang melebihi tiga nama calon.

“Kita juga mempunyai calon simpanan. Kita juga lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat untuk mengundi di tempat itu dan daya kemenangan (calon),” katanya.

Kita ucapkan selamat tinggal (kepada calon yang gagal tapisan integriti). Kita menekankan soal integriti kerana walaupun ia sangat abstrak tetapi boleh dilakukan kajian secara empirikal” Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia