Berita Harian

TPM terima kunjungan Menteri Kehakiman Jepun

-

Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Menteri Kehakiman Jepun, Yoko Kamikawa, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Kunjungan hormat Kamikawa ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri itu adalah bagi menyampaik­an undangan untuk menghadiri Kongres Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah Ke-14 di Jepun pada 2020.

Pertemuan 40 minit bermula jam 2 petang itu juga memberi fokus kepada isu keselamata­n termasuk keganasan dan Jepun berminat dengan usaha Malaysia memerangi gerakan radikal.

Ulang tahun diplomatik ke-60

Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan Jepun menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60 tahun lalu dan kedua-dua negara bersetuju untuk memperting­katkan hubungan yang sedia terjalin ke tahap kerjasama strategik.

“Momentum hubungan erat ini diteruskan lagi dengan pertukaran lawatan yang kerap di pelbagai peringkat antara kedua-dua negara. Lawatan peringkat tertinggi terakhir dari Malaysia ke Jepun adalah lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari 15 hingga 17 November 2017.

Serah undangan

“Ketika lawatan itu, Perdana Menteri menyampaik­an undangan kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, untuk mengadakan lawatan ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Zahid berkata, lawatan peringkat tertinggi dari Jepun ke Malaysia pula adalah lawatan rasmi Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito dari 13 hingga 17 April 2017, manakala lawatan terakhir beliau ke Jepun pula adalah lawatan kerja dari 29 Mei hingga 2 Jun 2016.

Beliau berkata, pada 2016, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia, manakala Malaysia adalah rakan dagang kesepuluh terbesar bagi negara matahari terbit itu.

Katanya, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2016 adalah sebanyak RM120.26 bilion dan pada Januari hingga Julai tahun lalu, jumlah dagangan dua hala adalah berjumlah RM80.28 bilion, peningkata­n 17.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

“Jumlah pelaburan pada 2016 yang berjumlah RM1.9 bilion melalui 53 projek berjaya menghasilk­an 4,392 peluang pekerjaan.

“Malaysia percaya perdaganga­n dua hala antara dua negara ini akan terus berkembang terutama melalui perlanjuta­n Dasar Pandang Ke Timur dan negara ini turut menghargai kehadiran berterusan pelabur Jepun yang menjadi antara sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] ?? Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Kamikawa di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Kamikawa di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia