Berita Harian

SPRM serbu lapan syarikat

Dokumen, kontrak perjanjian antara barang dirampas dalam operasi

- Oleh Ilah Hafiz Aziz

Sekurang-kurangnya lapan syarikat diserbu Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara dan Selangor kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Difahamkan, empat serbuan bermula pada jam 10 pagi itu dilakukan di Selangor, antaranya di Puchong, Semenyih dan Subang Jaya, manakala empat lagi di sekitar ibu negara, termasuk Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

Serbuan terbaru itu membabitka­n syarikat perunding kejurutera­an yang menjalanka­n kajian bagi pembinaan terowong itu.

21 premis sudah diserbu

Pada 11 dan 12 Januari lalu, SPRM menyerbu 21 premis dan merampas dokumen berhubung kes sama, selain beberapa premis masing-masing pada 9 dan 13 Januari.

Kelmarin, sepasukan pegawai SPRM difahamkan membawa keluar sejumlah dokumen penting, termasuk kontrak dan perjanjian untuk siasatan lanjut.

Serbuan itu adalah susulan beberapa siri serbuan dijalankan SPRM di sekitar Pulau Pinang, termasuk premis kerajaan negeri.

Projek pembinaan terowong dasar laut oleh Kerajaan Pulau Pinang menjadi kontrovers­i apabila dilakukan dengan kos yang tinggi iaitu mencecah RM305 juta dan dibayar secara kaedah land swap iaitu memberi dua lot tanah bernilai tinggi sebagai bayaran terhadap kajian yang dilakukan.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahka­n pihaknya memberi perhatian serius terhadap pembabitan syarikat tempatan, termasuk sebuah syarikat fesyen dalam pembinaan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia