Berita Harian

DBKL pasang jaring di blok PPR

-

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang jaring di blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengurangk­an risiko kemalangan akibat sikap penghuni yang suka membaling barang dari tingkat atas.

Ia susulan seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Selle, Petaling Jaya, yang maut ditimpa kerusi pejabat yang dipercayai dicampak dari tingkat atas PPR Sri Pantai, Pantai Dalam di sini, malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Pembanguna­n Komuniti dan Kesejahter­aan Bandar DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor, berkata tindakan itu akan diambil secepat mungkin dengan memberi tumpuan kepada PPR yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam terlebih dahulu.

Ketika ini, ada 72 PPR dan perumahan awam di ibu negara dengan 13 daripadany­a dikenal pasti polis sebagai kawasan hitam.

“Apa yang berlaku ini membabitka­n aspek keselamata­n. Justeru kita akan memasang jaring sama ada di bawah atau atas blok untuk melindungi orang awam daripada terkena balingan objek” katanya ketika ditemui selepas mengunjung­i keluarga mangsa di PPR Sri Pantai, semalam.

Baling objek ke bawah

Dalam kejadian kirakira jam 8 malam tadi, S Sathiwaran, meninggal dunia di lokasi akibat ditimpa kerusi pejabat dipercayai dicampak dari tingkat atas Blok 102 Seri Pantai.

Wan Mohammad Ghazali berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap penghuni termasuk menyita kediaman jika terbukti membaling objek ke bawah.

Katanya, DBKL pernah mengeluark­an notis kepada semua unit PPR supaya mengambil perhatian serius berhubung perbuatan pembuangan sampah dan juga objek lain, namun tidak dipandang serius.

“Kita juga ada buat beberapa mekanisme dalam usaha mendidik penghuni untuk menjaga kebersihan serta keselamata­n di tempat tinggal mereka.

“Kami juga akan adakan perbincang­an bersama persatuan penduduk dan agensi kerajaan termasuk polis untuk mengadakan kepolisan komuniti di kawasan hitam,” katanya.

Sementara itu, penghuni PPR Sri Pantai, V S Thamaraven­i, 45, berkata perbuatan membaling objek sudah menjadi kebiasaan di situ tetapi ini kali pertama membabitka­n kehilangan nyawa.

Katanya, apa yang terjadi malam tadi adalah satu perbuatan yang melampau dan tidak boleh dimaafkan serta mahu pihak berkuasa segera menahan pelakunya.

“Sudah banyak kali penduduk terkena objek yang dibaling penghuni tidak bertanggun­gjawab, malah ada yang pernah cedera hingga kepala terpaksa dijahit.

“Saya kesal dengan mentaliti penghuni yang malas turun membuang sampah di tempat sepatutnya, sebaliknya mengambil jalan mudah membuangny­a dari atas,” katanya yang sudah menghuni di situ selama 15 tahun.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai, Tusiah Sino, berkata pihaknya tidak berkuasa untuk mengambil tindakan, sebaliknya hanya boleh memberi nasihat untuk tidak membuang sampah atau objek di merata tempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia