Berita Harian

SL1M Zon Tengah sedia 15,000 peluang pekerjaan

Program dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung

- Oleh Haryani Ngah

Edisi sulung Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) 2018 yang akan berlangsun­g di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 24 dan 25 Februari depan menyediaka­n sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja.

Peluang pekerjaan itu disediakan 200 syarikat termasuk 26 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada graduan dan pencari kerja pelbagai peringkat kelulusan.

Ketua Sekretaria­t SL1M, Norashikin Ismail, berkata SL1M 2018 yang akan bermula di Zon Tengah itu adalah yang terbesar pernah diadakan dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Program anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung.

Rebut peluang pekerjaan

“Saya berharap ramai pencari kerja dan orang muda hadir untuk merebut peluang pekerjaan yang disediakan.

“Istimewany­a pada penganjura­n kali ini, Perdana Menteri akan mengumumka­n sesuatu yang berimpak tinggi untuk golongan muda,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Norashikin berkata, Majlis Anugerah bagi mengiktira­f semua GLC yang konsisten menjayakan SL1M sejak 2011 juga akan berlangsun­g pada majlis perasmian itu.

Beliau turut mengumumka­n, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju menyumbang sebuah kereta PERODUA Myvi edisi terbaru untuk dijadikan hadiah utama cabutan bertuah yang akan disampaika­n Perdana Menteri pada majlis perasmian.

Selain PERODUA Myvi, pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung termasuk motosikal, telefon bimbit dan barangan elektrik.

Ceramah kerjaya

Program SL1M turut menyediaka­n ceramah kerjaya, klinik resume, kupon makan untuk pengunjung terawal, pameran dan jualan kenderaan serta pelbagai lagi.

Bagi menarik kehadiran pengunjung, program itu turut menampilka­n selebriti tempatan untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada graduan serta pencari kerja.

Antara artis yang hadir termasuk Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Kumpulan Bocey, Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli, Hael Husaini, Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan AG.

Sesi motivasi khas bersama usahawan orang kurang upaya (OKU), Sukur Rahim dan Imam Muda Asyraf turut disediakan.

Pengunjung yang membawa anak pula akan dihiburkan dengan maskot Didi & Friends serta Umar & Hana.

Sebagai kemudahan pengunjung, pengangkut­an awam percuma disediakan Nadi Putra di KTM Serdang dan Putrajaya Sentral serta pemberian kupon diskaun untuk Grabcar.

 ?? [FOTO ROSELA ISMAIL/BH] ?? Norashikin bersama duta dan sebahagian selebriti yang terbabit pada sidang media Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Seri Kembangan, semalam.
[FOTO ROSELA ISMAIL/BH] Norashikin bersama duta dan sebahagian selebriti yang terbabit pada sidang media Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Seri Kembangan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia