Berita Harian

Keputusan bicara empat individu serentak ditentu 30 Januari

-

Kota Kinabalu: Keputusan sama ada perbicaraa­n bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong, dijalankan serentak dengan tiga tertuduh lain atau berasingan, akan ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 30 Januari ini.

Tiga tertuduh terbabit adalah bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55; isterinya, Fauziah Piut, 51 dan seorang lagi bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 63.

Ketiga-tiga mereka yang didakwa atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta pada 29 Disember 2016 akan dibicaraka­n bermula 5 Februari depan.

Dibantah pembelaan

Dalam prosiding pengurusan kes semalam, Hakim Abu Bakar Manat memerintah­kan pihak pendakwaan supaya menghantar surat permohonan untuk perbicaraa­n Chee Kong dilakukan serentak bersama ketiga-tiga tertuduh selewat-lewatnya pada 21 Januari ini.

Abu Bakar turut menetapkan 25 Januari ini untuk pihak pembelaan menghantar maklum balas terhadap permohonan pihak pendakwaan, manakala keputusan mahkamah dibuat pada 30 Januari ini.

Terdahulu, dalam prosiding semalam, permohonan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman untuk menjalanka­n perbicaraa­n serentak dibantah oleh pihak pembelaan, yang diketuai peguam Roland Cheng.

Pada 13 Disember lalu, Chee Kong, 53, mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a), Chee Kong berdepan 78 pertuduhan kerana kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.

Baki 68 pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.

Chee Kong bersama Awang Mohd Tahir ditahan reman Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewen­gan dana infrastruk­tur air pada Oktober 2016 sebelum dibebaskan dengan jaminan agensi itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia