Prudential, PRUBSN tawar khidmat Doctor2u
Prudential Assurance Malaysia Bhd (Prudential) dan Prudential BSN Takaful Bhd (PRUBSN) menjalin usaha sama dengan BP Healthcare Group bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan mudah alih Doctor2u kepada bakal pemegang polisi dan pemegang sijilnya.
Ketua Pegawai Operasi Prudential, Wong Eng Teng, berkata jika pemeriksaan kesihatan diperlukan sebagai sebahagian daripada proses taja jamin, pelanggan yang melanggan dengan premium tahunan atau sumbangan tahunan minimum kini boleh memilih untuk mendapatkan doktor berkelayakan penuh yang disediakan Doctor2u.
Katanya, ia bagi menjalankan ujian pemeriksaan kesihatan di lokasi pilihan mereka, termasuk tempat kediaman masing-masing.
Beliau berkata, ia bertujuan memudahkan kerana mereka tidak perlu menunggu lama dan beratur panjang di klinik atau hospital, yang mana pelanggan kini boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan dalam keselesaan rumah.
“Ia bukan sahaja memudahkan tetapi membolehkan mereka mendapatkan polisi atau sijil lebih cepat dan menguatkuasakan perlindungan hampir serta-merta,” katanya pada majlis pelancaran media perkhidmatan terbaru itu di Kuala Lumpur, semalam.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Operasi PRUBSN, Ahmir ud Deen; Pengerusi BP Healthcare Datuk Beh Chun Chuan; dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Garvy Beh.
Dilengkapi Live Chat
Ahmir ud Deen, berkata pihaknya sentiasa mencari cara untuk meningkatkan mutu pengalaman pelanggan.
Doctor2u katanya, menawarkan aplikasi mudah alih dengan ciri seperti Live Chat dan nasihat video yang membolehkan pelanggan berhubung secara langsung dengan doktor.
“Ini bertepatan rancangan kami yang mana kami juga menawarkan promosi istimewa secara eksklusif buat pelanggan Prudential dan PRUBSN, ejen serta ahli keluarga mereka bagi perkhidmatan lawatan doktor ke rumah sehingga akhir tahun ini.
“Selain daripada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, pelanggan juga boleh membuat panggilan untuk mendapatkan khidmat doktor berdaftar di rumah mereka pada hanya RM80 untuk permintaan yang dibuat pada waktu siang dan RM150 untuk permintaan waktu malam,” katanya.
Tarik lebih 450,000 pengguna
Harga promosi itu sah dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2018. Doctor2u adalah aplikasi penjagaan kesihatan mudah alih berkonsepkan model perkongsian hak yang boleh dimuat turun secara percuma daripada Appstore atau Google Play.
Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan secara permintaan, termasuk lawatan doktor ke rumah, khidmat nasihat video, Live Chat, e-dagang, rekod kesihatan elektronik, penghantaran ubat serta ambulans.
Sejak diperkenalkan pada Oktober 2015, ia berjaya menarik lebih 450,000 pengguna dan kini mempunyai 4,000 pengguna aktif setiap hari.
Ia sudah melebarkan sayapnya ke Singapura dan Filipina dan akan memasuki Australia tidak lama lagi.
Ia bukan sahaja memudahkan tetapi membolehkan mereka mendapatkan polisi atau sijil lebih cepat dan menguatkuasakan perlindungan hampir serta-merta” Wong Eng Teng, Ketua Pegawai Operasi Prudential