Palang halang Nigeria atasi Rwanda
Tangiers (Maghribi): Nigeria kecewa apabila tiga kali percubaan mereka sekadar singgah di palang ketika seri tanpa jaringan dengan Rwanda pada perlawanan pembukaan Piala Negara Afrika 2018, kelmarin.
Keputusan perlawanan Kumpulan C yang berlangsung di Tangiers itu menyaksikan kedua-dua pasukan ketinggalan dua mata di belakang Libya yang mengetepikan Equatorial Guinea 3-0 dalam satu lagi aksi kumpulan sama.
Ini adalah percubaan kali ketiga Nigeria untuk memenangi kejohanan apatah lagi mereka membarisi pemain terbaik selepas sekadar menduduki tempat ketiga di Afrika Selatan, empat tahun lalu.
Cubaan Sunday Faleye, Rabiu Ali dan Stephen Eze singgah di palang pada perlawanan yang menyaksikan dominasi penuh Nigeria sejak wisel permulaan dibunyikan.
Rwanda terpaksa bertahan di sepanjang perlawanan dan akan bertemu Equatorial Guinea selepas ini dan hanya kemenangan mampu meletakkan mereka ke suku akhir.
Saleh bantu kemenangan
Sementara itu, pemain Libya, Saleh Taher Saeid menghukum kesilapan yang dilakukan pertahanan Equatorial Guinea untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh 17 minit dan menjana kemenangan pasukannya.
Tolakan mudah Zakaria Alharash ketika permainan berbaki tiga minit melengkapkan kemenangan bergaya Libya.
Hari ini aksi Kumpulan D menemukan Angola dengan Burkina Faso dan Cameroon menentang Congo Brazzaville. AFP