TM, TNB realisasi Pelan Fiber Seluruh Negara
Usaha sama manfaat capaian, infrastruktur serta kepakaran
Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) bagi membangunkan pelan pelaksanaan merealisasikan Pelan Fiber Seluruh Negara (NFP).
Kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama berkata, usaha sama itu akan memanfaatkan gabungan keupayaan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dari segi capaian, infrastruktur dan kepakaran.
Katanya, secara khusus, sinergi berkenaan akan membolehkan struktur kos yang paling cekap selain memacu capaian rangkaian jalur lebar fiber.
Pacu ekonomi digital
“Ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memacu ekonomi digital di Malaysia seperti yang disasarkan di bawah NFP dan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB),” katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi komitmen dua GLC itu, ia akan memastikan keselamatan serta menjamin infrastruktur strategik dan kritikal negara.
“Cadangan rangkaian itu juga akan meneruskan penyertaan akses terbuka sedia ada oleh pemain industri yang lain bagi mempromosikan persaingan sektor swasta dalam jalur lebar runcit,” tambah kenyataan itu.
MOU berkenaan dimeterai Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Shazalli Ramly serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd pada satu majlis di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut kenyataan itu, MOU terbabit tertakluk kepada perjanjian muktamad yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak selepas terma komersial dimuktamadkan.
“Pengumuman selanjutnya akan dibuat kelak, mengikut kesesuaian,” kata kenyataan itu.
Oktober lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata kerajaan sudah memuktamadkan pendekatan untuk melaksanakan NFP yang dibangunkan bagi memperluas penyediaan dan keupayaan perkhidmatan jalur lebar.
Perkongsian awam swasta
Beliau berkata, NFP akan dilaksanakan melalui perkongsian awam swasta yang berpotensi.
Katanya, bukti konsep akan dilaksanakan di beberapa lokasi di Malaysia membabitkan bandar, pinggir bandar dan zon terpencil.
NFP, katanya, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam bajet, untuk menggandakan kelajuan jalur lebar pada harga lebih rendah menjelang 2019.
“Dengan NFP, kerajaan menjangkakan rakyat akan terus mendapat faedah daripada jalur lebar yang lebih berkualiti pada harga kompetitif dan membolehkan mereka memanfaatkan peluang yang diberikan oleh ekonomi digital,” katanya.