Lima kontraktor tempatan terima kontrak PETRONAS
PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), menganugerahkan kontrak bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) di kemudahan luar pesisirnya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kepada lima kontraktor tempatan.
Dalam kenyataan, PCSB kontraktor terbabit adalah Carimin Engineering Services Sdn Bhd, Dayang Enterprise Sdn Bhd, Deleum Primera Sdn Bhd, Petra Resources Sdn Bhd, Sapura Fabrication Sdn Bhd dan rakan usaha samanya, Borneo Seaoffshore Engineering Sdn Bhd.
“Lima kontraktor tempatan itu dipilih bagi kontrak selama tempoh lima tahun berkuat kuasa pada September tahun lalu, dengan pilihan lanjutan satu tahun tambahan,” kata PCSB.
Di bawah terma kontrak berkenaan, perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan akan termasuk Penyelenggaraan Utama (TMM) dan Projek Penambahbaikan Kemudahan (FIP).
Galak kerjasama
Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia PETRONAS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Mohd Jukris Abdul Wahab, berkata keperluan baharu diperkenalkan untuk menggalakkan kerjasama di rantaian bekalan industri.
“Kontrak ini merangkumi keperluan seperti penggunaan kapal marin daripada syarikat milik rakyat Malaysia sahaja dan penyertaan mandatori sebanyak 20 peratus penyedia perkhidmatan negeri tempatan untuk menggalakkan perkhidmatan dengan nilai tambah yang memastikan pertumbuhan dalam industri perkhidmatan huluan minyak dan gas Malaysia,” katanya.
Dengan 200 platform luar pesisir beroperasi di bawah PCSB di Malaysia, PETRONAS terus menggalakkan penyertaan berasaskan merit daripada kontraktor tempatan untuk mencapai pertumbuhan pengeluaran yang dipacu nilai bagi kemajuan jangka panjang serta kemampanan industri minyak dan gas.