Berita Harian

4 lagi kapal peronda Armada Timur

-

Kota Kinabalu: Markas Pemerintah­an Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima empat lagi kapal peronda generasi baharu (PV) bagi mengukuhka­n kawalan serta tahap keselamata­n di perairan negeri ini.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, berkata dua daripada aset terbabit akan diterima pada tahun ini iaitu KD Selangor dijangka tiba di pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabtu ini dan KD Kelantan pula pada Mac depan.

Katanya, dua lagi kapal jenis sama iaitu KD Pahang dan Terengganu pula dijangka diperoleh pada tahun depan.

Enam aset utama

“Setakat ini, kita mempunyai KD Kedah dan Perak. Apabila semua aset itu berada di sini, secara keseluruha­n pangkalan ini memiliki enam aset utama bagi kegunaan Armada Timur.

“Selain itu, sebanyak 18 kapal misi pesisir (LMS) akan ditempatka­n di sini, Tawau dan Sandakan di Sabah serta Bintulu, Sarawak. Empat daripada kapal itu sedang dibina di China dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya selepas menyempurn­akan Perbarisan Tahunan Panglima Armada Timur dan Program Admiral On Deck, di sini, semalam.

Seramai 41 pegawai dan 271 anggota membabitka­n 10 platun mengikuti perbarisan yang diadakan di padang kawad KD Sri Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Utama kebajikan warga TLDM

Sementara itu, Syed Zahiruddin Putra berkata, Kementeria­n Pertahanan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi projek kesejahter­aan dan kebajikan warga TLDM Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan bagi membaik pulih prasarana dalam Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, selain untuk kebajikan anggota dan keluarga mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut meningkatk­an kesiapsiag­aan mengawasi perairan Sabah bagi menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Rondaan di semua kawasan memang diadakan seperti biasa, namun kita cuma memperting­katkan dari segi ketelitian, kepekaan dan sistem radar,” katanya.

 ?? [FOTO MALAI ROSMAH TUAH ?? Syed Zahiruddin Putra (tengah) berucap pada Perbarisan Tahunan Panglima Armada Timur dan Program Admiral On Deck, di Sepanggar, semalam.
[FOTO MALAI ROSMAH TUAH Syed Zahiruddin Putra (tengah) berucap pada Perbarisan Tahunan Panglima Armada Timur dan Program Admiral On Deck, di Sepanggar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia