Berita Harian

PERDANA MENTERI BERI BAYANGAN PRU-14 SEBELUM 14 JULAI

PM beri bayangan tarikh PRU-14 dalam program khas haji

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail irwanhsa@bh.com.my

Datuk Seri Najib Razak, semalam, memberi bayangan yang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diadakan sebelum 14 Julai ini.

Perdana Menteri mendedahka­n perkembang­an itu kepada 1,200 peserta Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) di Masjid Putra, di sini, bahawa mereka akan melalui dua peristiwa ‘raya’ sebelum ke Tanah Suci.

Beliau berkata, semua peserta program khas itu akan berlepas ke Makkah pada 14 Julai iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

“14 Julai bererti bahawa lepas dua peristiwa, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi, hari raya yang satu lagi, kemudian, baru tuan-tuan naik haji.

Hubungan baik dengan Arab Saudi

“Kita buat lebih awal lagi, lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati, kalau kerajaan kita masih kekal, tuan-tuan semua akan menunaikan haji, segala-segalanya tidak berubah selagi kerajaan tidak berubah, semuanya jalan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Putra, di sini, semalam.

Dalam perkembang­an sama, Najib berkata, program penyerahan surat tawaran haji yang memasuki tahun kelapan pelaksanaa­n itu semakin berjaya kerana kerajaan mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Salman Abdulaziz Alsaud.

Katanya, menerusi program yang diilhamkan beliau sejak 2011 itu, 5,711 golongan agamawan serta pemimpin peringkat akar umbi sudah dihantar menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Program itu dibantu Yayasan 1MDB serta Lembaga Tabung Haji (TH) selaku badan utama dalam pengendali­an dan urusan menunaikan ibadat berkenaan.

“Saya dapat bayangkan perasaan jemaah haji yang berjaya kita hantar, yang nyata cukup bersyukur kerana pada mereka tanpa program ini, tidak mungkin merasai nikmat mengerjaka­n haji.

“Tahap kesyukuran mereka cukup menyayat hati saya tetapi usaha kerajaan ini tidak mungkin dilaksanak­an jika kita tidak mempunyai hubungan baik dengan Raja Salman.

“Ramai masyarakat Islam negara ini berpeluang menunaikan ibadat haji hasil hubungan baik itu, malah keberangka­tan Raja Salman ke Malaysia pada tahun lalu juga membawa kepada tambahan kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk musim haji kali ini,” katanya

Usah buat tohmahan

Beliau berkata, walaupun ada pihak tertentu membuat tohmahan kononnya disebabkan skandal perniagaan yang menyelubun­gi 1MDB menyebabka­n mereka yang ke Tanah Suci melalui tajaan Yayasan 1MDB tidak mendapat haji mabrur, hakikatnya program itu terus mendapat perhatian memberangs­angkan masyarakat.

“Jangan kata wang itu lesap begitu sahaja... itu hutang dan ia boleh dibayar. Jangan fitnah, kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.

“Kenyataan individu itu yang sebenarnya terbabit dalam urus niaga menyebabka­n lebih banyak kerugian kepada negara sudah disangkal oleh seorang mufti.

“Soal mabrur adalah ketentuan Allah dan manusia tiada hak menentukan­nya, lebih-lebih lagi oleh individu bukan ahlinya,” katanya.

Perdana Menteri, berkata jika pentadbira­n kerajaan tidak berada pada landasan betul iaitu mengikut syariat Islam, mana mungkin Raja Salman memberi pertimbang­an dalam soal penambahan kuota haji, malah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama yang baginda kunjungi ketika melakukan lawatan rasmi ke rantau ini tahun lalu.

Selain itu, Najib mahu bakal jemaah berterima kasih kepada Tabung Haji kerana sedia memberikan kuota haji kepada program itu, selain mengekalka­n kadar bayaran RM9,980 bagi mereka yang akan menunaikan haji musim ini.

“Kita kena ingat, kerajaan melalui Tabung Haji memberi subsidi yang besar kepada jemaah kita. Mereka hanya membayar RM9,980, manakala RM12,470 lagi ditanggung Tabung Haji.

“Ini tidak termasuk pelbagai kemudahan lain dinikmati jemaah ketika di Tanah Suci,” katanya.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Najib bergambar bersama sebahagian bakal haji selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardu Haji Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1MDB 2018 di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Najib bergambar bersama sebahagian bakal haji selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardu Haji Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1MDB 2018 di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia