Berita Harian

MB SELANGOR LABEL AMANAH BOHONG, AMANAH PULA BIDAS AZMIN

Azmin dakwa jawatankua­sa sudah bertemu 4 kali bincang agihan kerusi

- Oleh Rafidah Mat Ruzki fidahruzki@bh.com.my

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam menempelak tindakan parti sekutunya yang mendakwa pembahagia­n kerusi di Selangor, masih belum dimuktamad­kan.

Mohamed Azmin sebaliknya menegaskan, sudah ada jawatankua­sa yang membincang­kan pengagihan kerusi yang akan ditandingi parti komponen Pakatan Harapan di Selangor sebelum ini.

Katanya, jawatankua­sa itu juga sudah bertemu sebanyak empat kali bagi membincang­kan perkara terbabit termasuk isu yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Amanah berbohong! Apa yang Dr Mahathir (Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad) katakan ialah kami sudah ada satu jawatankua­sa seperti negeri lain dan sudah bertemu sebanyak empat kali.

“Amanah (Parti Amanah Negara) tidak memberi tahu perkara sebenar. Mereka tidak amanah.

“Kami sudah bertemu selama empat kali untuk berbincang, cuma nama jawatankua­sa sebelum ini (ialah) Jawatankua­sa Pilihan Raya Negeri Selangor. Sekarang mereka mahu menukarnya kepada Jawatankua­sa Pengagihan Kerusi.

Ahli jawatankua­sa sama

“Ahli jawatankua­sa adalah orang yang sama. Sudah tentu belum dapat mencapai kata sepakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah masjid baharu di Taman Tun Teja, Rawang tengah hari semalam.

Mohamed Azmin yang mengakui beliau yang mengetuai jawatankua­sa itu, berkata perbincang­an perlu diteruskan kerana amat penting untuk mencapai persefaham­an dan persetujua­n bersama dengan semua parti komponen dalam pakatan pembangkan­g berkenaan.

Katanya, pada ketika ini, sebanyak 80 peratus daripada kerusi di Selangor sudah ditentukan.

“Anda tidak boleh menjangkak­an yang proses ini boleh diselesaik­an dalam masa satu hari,” katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim menggesa PKR Selangor terutama pengerusin­ya iaitu Mohamed Azmin untuk akur dengan arahan Pakatan Harapan untuk diwujudkan sebuah jawatankua­sa khas membincang­kan isu agihan kerusi di negeri itu.

Izham dilaporkan berkata, jawatankua­sa itu perlu diwujudkan berikutan agihan semua kerusi itu perlu dimuktamad­kan segera pada 7 Februari ini susulan keputusan pada peringkat Majlis Presiden.

Amanah berbohong! Apa yang Dr Mahathir (Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad) katakan ialah kami sudah ada satu jawatankua­sa seperti negeri lain dan sudah bertemu sebanyak empat kali” Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia