Berita Harian

Suspek miliki kilang proses minuman

Disyaki kumpul kekayaan hasil suapan daripada kontraktor tertentu sejak 2014

- Oleh Aizat Sharif dan Muhammad Mustakim Ramli

Kekayaan bernilai jutaan ringgit, termasuk pemilikan kilang memproses minuman, adalah antara rahsia dibongkar Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis yang berdepan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata siasatan awal pihaknya mendapati suspek berusia 60 tahun itu disyaki mengumpul kekayaan bernilai jutaan ringgit hasil daripada suapan diperoleh daripada kontraktor tertentu sejak 2014.

Beliau berkata, suspek yang kini di bawah tahanan reman SPRM sehingga 5 Februari, turut dipercayai memiliki kilang memproses minuman tersebut hasil sumber suapan.

“Siasatan awal kami mendapati suspek dipercayai bukan hanya mempunyai banglo serta kenderaan mewah, tetapi juga memiliki sebuah kilang memperoses air di Perlis.

“Malah, kekayaan ini boleh dianggarka­n bernilai jutaan ringgit dan kita percaya ia adalah hasil daripada wang rasuah yang diterima daripada kontraktor sejak 2014,” katanya ketika dihubungi New Straits Times Press (NSTP) semalam.

Katanya, setakat ini, jumlah individu yang ditahan kekal tiga, iaitu pengarah berkenaan, anak lelakinya yang berusia 39 tahun dan seorang pemilik sebuah syarikat.

Bagaimanap­un, Fauzi mendedahka­n pihak SPRM mendapat petunjuk baharu yang dapat mengaitkan suspek dan kegiatan rasuah yang dilakukan namun enggan mengulas lanjut bagi mengelak mengganggu siasatan.

Sebelum ini, NSTP melaporkan SPRM menahan Pengarah JPS Perlis bersama dua lagi individu pada 30 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

Selain penahanan individu terbabit, SPRM juga merampas wang tunai hampir RM900,000 serta menyita empat akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM2.9 juta.

SPRM beku 12 akaun

SPRM turut membekukan 12 akaun milik ahli keluarga pengarah terbabit yang dijadualka­n bersara pada Mei ini, manakala satu lagi milik seorang pengarah syarikat yang didapati mempunyai jumlah sebanyak RM1.1 juta.

Nilai keseluruha­n wang dari 17 akaun yang dibekukan itu mencecah RM4 juta.

Sementara itu, kegagalan mendapat projek daripada pihak JPS Perlis dipercayai mendorong pihak tertentu membuat laporan kepada SPRM.

Menurut sumber, kekerapan Pengarah berkenaan yang didakwa meluluskan projek kepada beberapa kontraktor tertentu juga menjadi penyebab laporan berkenaan dibuat.

“Mungkin ada pihak khususnya dalam kalangan kontraktor tidak berpuas hati kerana gagal mendapat projek sehingga membawa kepada laporan terhadap pengarah.

“Mereka mungkin mahu keadilan selepas melihat kontaktor yang sama sahaja menerima projek daripada JPS berulang kali,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada pengarah terbabit ada meminta suapan daripada kontraktor yang dilantik, sumber berkenaan bagaimanap­un berkata beliau tidak pasti kaedah yang digunapaka­i oleh mereka.

“Ada dakwaan mengatakan suspek menerima 10 peratus bagi setiap projek antara 2014 hingga 2017 seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

“Malah ada juga dakwaan mengatakan suspek tidak membuat pembayaran kepada kontraktor walaupun sudah menerima peruntukka­n daripada ibu pejabat, hanya SPRM sahaja tahu kesahihan semua dakwaan ini,” katanya.

Beliau ketika ditanya mengenai kehidupan pengarah yang didakwa mewah, enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak pasti...beliau hanya dilihat menggunaka­n kenderaan JPS ketika bekerja,” katanya.

 ??  ?? Keratan akhbar BH, 30 Januari lalu.
Keratan akhbar BH, 30 Januari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia