Perhitungan Salah, Kane
Liverpool sambut kunjungan Tottenham dengan misi lunas dendam, kukuh tempat
Dua pemain prolifik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bertembung apabila Liverpool menerima kunjungan Tottenham Hotspur yang bakal menampilkan aksi sengit keduadua pasukan bagi merebut kelompok empat teratas.
Hanya lima mata memisahkan Manchester United yang berada di kedudukan kedua dengan Spurs yang dibimbing Mauricio Pochettino di tangga kelima - satu persaingan sengit merebut tempat ke Liga Juara-juara jarang sekali berlaku.
Kemenangan pasukan di tangga ketiga, Liverpool di Anfield bakal menjarakkan kedudukan mereka kepada lima mata daripada Tottenham - kedudukan baik buat skuad Juergen Klopp yang hanya kalah sekali dalam 16 perlawanan liga.
Kedua-dua pengurus itu bakal merangka strategi terbaik buat pasukan masing-masing untuk memenangi perlawanan, Ahad ini dengan percaturan mungkin lebih terarah kepada dua penyerang yang berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim ini.
Penjaring terbanyak
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan pemain Tottenham, Harry Kane berada di kedudukan teratas dalam senarai penjaring terbanyak.
Kane selaku penyerang Spurs sudah menjaringkan 21 gol untuk mengetuai persaingan merebut kasut emas daripada pemain antarabangsa Mesir itu.
Bintang England itu mendahului carta penjaring, namun impak Salah yang ditandatangani dari AS Roma pada penghujung musim menjadi kejutan, apatah lagi dia bukan beraksi di bahagian serangan sepenuhnya.
Kedua-dua pemain itu menjadi tumpuan ketika perlawanan di Wembley pada Oktober lalu, dengan kemenangan 4-1 diraih Spurs yang kemudian menjadi satu momentum buat Liverpool apabila mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan, selepas itu.
Namun, rekod itu berakhir selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan sedang bergelut, Swansea City, sebelum bangkit membelasah Huddersfield Town 3-0, Selasa lalu.