Berita Harian

Gavin kekal terbaik negara

-

Kuala Lumpur: Gavin Green yang masih keletihan tetap menjadi pemain terbaik Malaysia pada saingan golf Kejohanan Maybank di Saujana Golf and Country Club, di sini, semalam.

Dia yang tampil kelmarin dengan empat pukulan bawah par, melakukan tiga bawah par 137 untuk berkongsi kedudukan ke-25 bersama juara bertahan, Fabrizio Zanotti dari Paraguay dan 10 lagi pemain apabila melakukan bogey pada lubang pertama dan sembilan lubang terakhir, namun bangkit dengan enam birdie.

“Saya rasa sedikit keletihan dan kelesuan kerana ia adalah minggu keempat berturut-turut saya. Adalah baik kerana saya boleh berehat sekarang, saya boleh dapat sedikit rehat.

Masalah pukulan tee

“Jadi, saya rasa saya hanya akan banyak berehat sekarang dan keluar dengan adik. Saya akan meraikanny­a buat masa ini. Melepasi tiga cut berturut-turut, saya tidak boleh mengeluh,” kata Gavin selepas mengakui masih ada masalah dengan pukulan tee dan berasa agak pelik pada permulaan pusingan kedua.

Pemain berusia 24 tahun yang juga juara bertahan Order of Merit Jelajah Asia beraksi dalam kejohanan keempat dalam empat minggu dengan penampilan pertama 2018 ialah Piala Eurasia Cup selepas dipilih kapten Team Asia, Arjun Atwal diikuti kelapan kejohanan Terbuka Singapura.

Dia menyertai Taiwan Masters 2017 sebelum bersaing dalam Jelajah Eropah, Dubai Classic dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-45 minggu lalu.

Sementara itu, mengekori Gavin dan 11 yang lain dengan kurang satu pukulan ialah Amir Nazrin yang melakukan 70-68, hasil lima birdie dan dua bogey untuk enam bawah par 138 dan berkongsi kedudukan ke-37.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia