Berita Harian

Pertembung­an buku, ruas

Pertarunga­n Harimau Selatan, Helang Merah dijangka sengit sehingga wisel penamat

- Oleh Aziman Rosdi

Pertembung­an Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini pasti menarik kerana ia dianggap pertemuan buku dengan ruas.

Banyak yang dipertaruh­kan dalam perlawanan pembukaan itu - bukan sekadar Piala Sultan Haji Ahmad Shah menjadi rebutan dan tiga mata untuk perlawanan Liga Super semata-mata.

Bagi JDT, tiada lagi pasukan yang mampu mencalar rekod bersih mereka di Larkin dalam aksi Liga Super sejak 2013 dan mereka mahu membuka kempen musim ini dengan persembaha­n meyakinkan.

Skuad Harimau Selatan terlepas trofi itu apabila tewas menerusi sepakan penalti 4-5 kepada Kedah selepas aksi sebenar terikat 1-1 tahun lalu, namun ketika itu, Benjamin Mora mengendali­kan pasukan dan bukannya Ulisses Morais.

Corak permainan berbeza

Malah ramai yang tertanyata­nya kemampuan skuad juara Liga Super itu yang membawa masuk semula bekas pemain, Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Hariss Harun.

Tampak percaturan itu pada awalnya kurang menjadi selepas tewas 2-5 kepada Muangthong United dalam aksi play off Liga Juara-juara di Bangkok bulan lalu.

Kedah juga pasti akan tampil dengan corak permainan dan taktikal berbeza apabila Ramon Marcote yang menjadi jurulatih pilihan penyokong Helang Merah bakal diuji kemampuann­ya selepas menggantik­an Nidzam Adzha Yusoff.

Walaupun bakal menyandark­an harapan kepada tonggak tempatan yang sama namun kehadiran awang import, Pablo Pallares dan Alvaro Silva pasti menambah rencah dalam permainan pasukan pelawat.

Kedah selaku juara Piala FA musim lalu tidak mahu pulang tangan kosong ke Alor Setar apatah lagi penyokong meletakkan harapan tinggi dengan sentuhan jurulatih dari Sepanyol itu.

Harimau Selatan pula pasti tidak rela dipalit duka dua kali dalam tempoh kurang dua minggu selepas diaibkan oleh Muangthong United bagi menambah koleksi ketiga trofi ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia