Berita Harian

JDT, Kedah sama yakin di Larkin

-

Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menganggap perlawanan mudah buat pasukan itu apabila sekali lagi berdepan Kedah pada aksi Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Katanya, Kedah antara pasukan hebat di Malaysia dan memiliki kekuatan tersendiri namun skuad Harimau Selatan juga memiliki kekuatan yang mampu memberi tentangan dalam perlawanan itu nanti.

“Apapun yang mustahak adalah JDT sendiri kerana kita harus beraksi tanpa tekanan dan beri komitmen tinggi dalam perlawanan itu. Kekalahan kepada Muangthong United pada aksi kelayakan Liga Juarajuara Asia (ACL) ia sudah menjadi sejarah dan apa yang kami fokus sekarang adalah permulaan liga.

“Kita harus beri yang terbaik mengikut falsafah yang diterapkan JDT pada musim ini dan pemain tahu tanggungja­wab masing-masing,” katanya menjelang aksi merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu.

Kombinasi muda, senior

Sementara itu, formula kombinasi antara pemain muda serta senior menjadi pertaruhan pengendali Kedah, Ramon Marcote pada aksi Sumbangsih di sini, malam ini.

“Kami sudah membentuk skuad mantap dan pada masa sama kami adunkan beberapa pemain muda bersama senior dalam pasukan. Setakat ini beberapa pemain muda menonjol.

“Antaranya, Hidhir Idris, Akhyar Rashid, Zafuan Azeman, Ariff Farhan dan Akmal Aziz dalam beberapa aksi pramusim yang lalu. Pemain senior memang kini berada pada tahap terbaik.

“Justeru pemain muda juga perlu membuktika­n kemampuan masing masing jika terpilih untuk beraksi pada perlawanan ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia