Berita Harian

Bebanan kabel elektrik punca siling runtuh

Kerosakan di Klinik Kesihatan Putatan kini sudah diperbaiki

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Kejadian siling runtuh di Klinik Kesihatan Putatan, di sini, Isnin lalu dikenal pasti berpunca daripada bebanan kabel elektrik yang diletak di atas struktur berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, yang ditemui pemberita selepas meninjau klinik itu semalam berkata, banyak kabel diletak di atas siling menyebabka­n strukturny­a gagal menampung berat lalu runtuh.

“Saya difahamkan kabel elektrik diletak di atas siling tanpa mengambil kira beban yang mampu ditampung struktur berkenaan hingga ia jatuh.

“Bagaimanap­un, ia sudah dibaiki dan sekarang kabel itu digantung dan tidak lagi diletak di atas struktur siling, maka keadaannya selamat,” katanya selepas meninjau lokasi siling runtuh di ruang menunggu farmasi Klinik Kesihatan Putatan, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Amrullah Kamal dan Ketua Penolong Pengarah Pembanguna­n Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Asitis Sanna.

Lakukan pemeriksaa­n berskala

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, mengingatk­an semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini supaya memeriksa bangunan masing-masing secara berkala.

“Setiap bangunan ada penyelengg­araan dan bahagian kejurutera­an yang harus tahu apa berlaku di bangunan mereka. Masalah seperti ini boleh berlaku di mana saja kalau tidak diperiksa selalu,” katanya.

Katanya, penjagaan bangunan perlu dilaksanak­an secara proaktif termasuk semua kemudahan dalam premis seperti lif dengan pemantauan perlu dilakukan setiap bulan dan bukannya selepas berlaku kerosakan.

Sementara itu, Amrullah berkata penjagaan bangunan kerajaan termasuk klinik dan hospital dilakukan sendiri oleh jabatan atau agensi yang terbabit menerusi unit pengurusan aset atau penyelengg­araan masing-masing.

“Unit itu bertanggun­gjawab sepenuhnya dalam aspek penyelengg­araan bangunan dan mereka perlu bertindak segera melakukan pembaikan apabila berlaku kerosakan seperti siling runtuh.

“Pihak JKR hanya campur tangan jika ia membabitka­n kerosakan bangunan yang berskala besar,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu, sebanyak 16 keping siling di ruang menunggu farmasi Klinik Kesihatan Putatan runtuh, namun tiada kecederaan atau kemalangan membabitka­n pesakit atau kakitangan dilaporkan.

Dr Asitis berkata, kerosakan itu dibaiki segera pada hari yang sama selepas punca runtuhan dikenal pasti dan ia dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

Kira-kira 500 pesakit mendapatka­n perkhidmat­an kesihatan di klinik berkenaan setiap hari dengan 90 kakitangan termasuk dua doktor pakar kesihatan keluarga dan 18 pembantu perubatan.

 ?? [ FOTO MALAI ROSMAH TUAH / BH ] ?? Yahya (tiga dari kiri) bersama Dr Asitis (dua dari kiri) ketika meninjau lokasi siling runtuh di ruang menunggu farmasi di Klinik Kesihatan Putatan yang kini telah siap dibai kpulih.
[ FOTO MALAI ROSMAH TUAH / BH ] Yahya (tiga dari kiri) bersama Dr Asitis (dua dari kiri) ketika meninjau lokasi siling runtuh di ruang menunggu farmasi di Klinik Kesihatan Putatan yang kini telah siap dibai kpulih.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia