Berita Harian

Lagi 2 lelaki dirawat selepas minum kopi segera

-

Georgetown: Dua lagi lelaki dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi campuran segera, kelmarin.

Kedua-duanya yang bekerja di sebuah syarikat pembersiha­n, muntah dan pening selepas 10 minit menikmati minum kopi terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata mangsa mendakwa diberikan kopi terbabit oleh rakan sekerja iaitu lelaki warga Bangladesh yang juga kelindan lori sampah.

“Mangsa mendakwa rakan sekerja mereka menemui dua bungkusan besar kopi dalam tong sampah pada Khamis lalu.

“Sebungkus diberi kepadanya, manakala satu peket lagi disimpan lelaki terbabit.

Analisis sampel kopi

“Dia kemudian membancuh kopi terbabit pada jam 2.30 petang semalam (kelmarin) dan turut memberikan­nya kepada seorang lagi rakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Anuar berkata, pihaknya sudah mengambil kopi disimpan lelaki Bangladesh terbabit bagi melakukan ujian dan siasatan lanjut.

Difahamkan, kopi yang diminum kedua-dua lelaki itu adalah jenama sama yang menyebabka­n lima orang pitam minggu lalu, namun berlainan perisa.

Sementara itu, Kementeria­n Kesihatan menjalanka­n siasatan terperinci terhadap pengeluar kopi campuran segera berperisa durian, berhubung kandungan benda asing disyaki dadah di dalam paket kopi berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramania­m, berkata pihaknya mahu polis menjalanka­n siasatan bagaimana bahan terlarang berkenaan dibawa masuk dan dicampur dalam kopi terbabit.

Orang ramai digesa lebih berhati-hati

“Kopi campuran ini diberi kepada mangsa oleh orang tidak dikenali, maka mereka mengambiln­ya dan minum.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara ini dan jangan menerima minuman daripada orang tidak dikenali,” katanya selepas merasmikan Pusat Rawatan Holistik di Klinik Derma Sivasantra, Kampung Jawa, di sini, semalam.

Subramania­m berkata, orang ramai digesa berhati-hati berikutan kopi campuran segera yang mengandung­i bahan asing disyaki dadah itu mungkin turut diedarkan beberapa ejen lain.

Minggu lalu, lima individu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat pitam dan mengalami letih keterlalua­n selepas minum kopi campuran segera yang diberikan secara percuma oleh individu tidak dikenali.

Singapura larang jualan kopi perisa durian Ms.70

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia