Berita Harian

Gagasan idea bangun, naik taraf tanah rancangan

FELDA 2.0 wujudkan komuniti berdaya saing, pacu pelbagai kemajuan

-

Selepas lebih 60 tahun dibangunka­n sehingga menjadi sebuah tanah rancangan paling berjaya di dunia, FELDA terus mengorak langkah untuk mencapai masa depan yang lebih gemilang menerusi inisiatif FELDA 2.0, yang dilancarka­n Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu adalah suatu gagasan idea untuk membangun dan menaik taraf kawasan tanah rancangan sedia ada, bagi menjadikan­nya lebih berdaya saing selaras dengan elemen komuniti pintar serta lestari.

“Jika FELDA 1.0, kita menempa jaya, maka dengan FELDA 2.0 ini, kita akan bersama melakar masa depan gemilang untuk berjaya dan terus berjaya, sampai ke puncaknya.

“Kepada warga peneroka dan generasi baharu FELDA, ayuhlah kita bersatu dan berpadu kerana sesungguhn­ya FELDA ini benteng kita, FELDA ini legasi kita dan semestinya FELDA inilah maruah dan tanggungja­wab kita bersama,” katanya ketika berucap melancarka­n inisiatif itu FELDA Lurah Bilut di sini.

Kecapi pelbagai kejayaan

Yang turut hadir, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Bentong, yang juga Menteri Pengangkut­an, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib berkata selama hampir 62 tahun penubuhan FELDA, banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh tanah rancangan itu dan dikongsika­n bersama-sama peneroka dalam pelbagai bentuk insentif.

Beliau berkata pada tahun lalu saja, peneroka FELDA menikmati jumlah keseluruha­n RM691.09 juta insentif tunai dan bukan tunai yang telah dibayar dan direalisas­ikan.

“Misalnya, insentif Khas Tunai RM5,000 telah pun kita bayar kepada 88,732 peneroka, dengan jumlah yang telah dibayar sebanyak RM443.6 juta.

“Selain itu, insentif tunai bagi pelupusan sebahagian saham FGV juga dibayar kepada 2,715 peneroka atau waris yang layak dengan jumlah RM4.94 juta dan membayar RM73.75 juta kepada 94,555 orang peneroka untuk Dividen FGV yang dipegang oleh FELDA dan juga insentif duit raya,” katanya.

Perdana Menteri berkata ketika Sambutan Hari Peneroka 2017 peringkat kebangsaan, beliau telah mengumumka­n untuk membuka semula peluang bagi peneroka yang sudah tidak lagi bersama Felda, kembali bermuafaka­t dengan tanah rancangan itu.

Selepas enam bulan pengumuman itu dibuat, perdana menteri berkata seramai 10,338 peneroka bersetuju kembali bermuafaka­t yang menjadikan peneroka yang berada di dalam sistem kewangan FELDA kini berjumlah 105,294 orang atau 93.5 peratus daripada keseluruha­n peneroka.

Bela nasib semua peneroka

“Ini dilakukan kerana kita sebenarnya kasih dan tetap mahu membela nasib semua warga peneroka, agar mereka terus mendapat manfaat yang kita umumkan.

“Ini membuktika­n FELDA terus dipercayai dan diyakini oleh para peneroka yang setia, sekali gus menolak dakyah dan ‘cakap-cakap kosong' kononnya peneroka sudah tidak lagi bersama pihak kerajaan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata peneroka perlu memastikan tanah FELDA bukan hanya sebagai tempat mencari rezeki tetapi menjadikan­nya sebagai tanah subur kekuatan politik kepada kerajaan sedia ada yang telah banyak membantu mereka.

“Pastikan pilihan raya akan datang, semua rakan FELDA menggambar­kan kekuatan, menterjema­hkan impian Tun Razak menjadi kenyataan kita bersama,” katanya.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumka­n peruntukan RM50 juta kepada FELDA bagi menjayakan inisiatif Felda 2.0 di lima tanah rancangan pada tahun ini.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO bersedia meluluskan kuota Feedin-tariff tenaga solar dengan jumlah keseluruha­n 80 Megawatt bagi 16 rancangan pada 2018 dan 2019.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan bakti peneroka FELDA pula, beliau berkata seramai 11 ketua peneroka dari 11 Wilayah FELDA yang telah lama berkhidmat dan belum pernah menunaikan Haji, akan ditawar mengikuti Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1MDB.

FELDA 2.0 transforma­sikan tanah rancangan MUKA SEPULUH

 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] ?? Najib beramah mesra bersama peneroka pada Majlis Pelancaran FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut, Bentong, semalam.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] Najib beramah mesra bersama peneroka pada Majlis Pelancaran FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut, Bentong, semalam.
 ?? [FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI/BH] ?? Ribuan peneroka hadir pada majlis pelancaran FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut, semalam.
[FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI/BH] Ribuan peneroka hadir pada majlis pelancaran FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia