Berita Harian

SPR wajar teliti semula cadangan

Generasi muda tidak daftar pemilih kini cecah empat juta

- Oleh Nazura Ngah

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) wajar meneliti semula cadangan mewujudkan senarai warganegar­a berusia 20 tahun dalam usaha menangani isu golongan muda tidak berdaftar sebagai pemilih yang kini mencecah empat juta orang.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata cadangan itu pernah dibincangk­an ketika beliau berada dalam panel suruhanjay­a yang turut disertai bekas pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Bagaimanap­un, katanya, perbincang­an itu tidak sempat dibawa untuk pertimbang­an kerajaan kerana sibuk membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Berdasarka­n rekod rakyat berusia 20 tahun yang diperoleh daripada pangkalan data Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) itu, katanya, SPR boleh melakukan persiapan dalam tempoh setahun terutama menjejaki alamat terakhir dengan anggaran 400,000 warganegar­a mencecah usia 21 tahun setiap tahun.

Buat beberapa pendekatan

“Apabila usia mencecah 21 tahun, SPR boleh melakukan beberapa pendekatan seperti membuat pengumuman, menjejaki individu terbabit menerusi dalam talian atau menghantar surat meminta daftar sebagai pemilih secara sukarela.

“Ketika ini, hampir empat juta rakyat tidak berdaftar sebagai pemilih dan kita tidak boleh berdiam diri atau sekadar menggalakk­an rakyat keluar mendaftar kerana sikap rakyat tidak berubah walaupun sudah banyak PRU dilalui.

“Sejak menyertai SPR pada 1997, ada dua juta tidak berdaftar dan angka itu terus meningkat sepanjang empat PRU hingga mencecah empat juta.

“Saya bukan mahu menekan SPR, cuma berasa pendekatan ini patut dilihat dan diberi perhatian semula dan sudah tiba masanya ia diberi perhatian serius sebagai langkah penyelesai­an,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Panel Perunding Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman mencadangk­an peraturan mewajibkan pelajar Tingkatan Lima mendaftar sebagai pengundi bagi mengatasi isu kegagalan golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun mendaftar sebagai pemilih.

Prapendaft­aran sebagai pemilih itu dijangka membolehka­n lebih 90 peratus belia mendaftar sebagai pengundi baharu dengan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) sebelum pengesahan pendaftara­n dibuat ketika usia mencecah 21 tahun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia