Berita Harian

4 kerusi pembangkan­g Kedah bertindih

-

Alor Setar: Pakatan pembangkan­g Kedah dipercayai gagal memutuskan pertindiha­n empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Difahamkan, parti sekutu dalam pakatan harapan negeri ini, gagal memperoleh kata sepakat dalam pertindiha­n empat kerusi DUN itu, membuatkan keputusan terpaksa diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat.

Empat kerusi DUN berkenaan ialah Guar Chempedak dan Pantai Merdeka yang dutuntut bersama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) serta Gurun antara DAP dan PKR.

Turut mendapat perhatian adalah kerusi DUN di Kulim yang menjadi rebutan tiga parti komponen membabitka­n DAP, PKR dan PPBM.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh, mengesahka­n pertindiha­n tuntutan kerusi terbabit dan kata putus mengenainy­a akan diambil pucuk pimpinan pusat dalam masa terdekat ini.

Bawa ke peringkat nasional

“Sebahagian besar pembahagia­n kerusi DUN untuk ditandingi, sudah selesai namun ada empat kerusi tidak mendapat persetujua­n berikutan setiap parti berasa mempunyai kekuatan bertanding di kawasan masing-masing.

“Jadi mengikut asasnya, kita kena bawa perkara itu ke peringkat nasional untuk proses hujahan dan penilaian dibuat mereka sebelum keputusan ditetapkan, ” katanya.

Pakatan harapan berhasrat bertanding pada semua 36 kerusi DUN di Kedah dengan PPBM memperoleh kerusi paling banyak untuk ditandingi iaitu 13.

Berdasarka­n maklumat, PKR pula dijangka bertanding di sembilan kerusi manakala DAP pula di dua kerusi.

PAN dilihat seolah-olah terpaksa beralah dengan PPBM apabila dijangka hanya bertanding di lapan kerusi DUN walaupun hasrat awal mereka ingin bertanding di semua 24 kerusi yang ditandingi PAS. Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ismail berkata, situasi itu berlaku disebabkan kehadiran PPBM menyebabka­n mereka terpaksa beralah.

“Asasnya begitulah (nak bertanding di semua kerusi PAS) tetapi sebab PPBM ada, jadi tak dapat semualah tapi kalau PPBM tiada kita dapat semua, ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Dr Azman Ismail, berkata pihaknya melihat parti itu mempunyai peluang cerah untuk memperoleh dua kerusi terbabit daripada rakan komponen mereka.

Masih dalam perbincang­an

“Peluangnya baik namun siapa yang layak masih dalam perbincang­an kerana ia perlu diperhalus­i namun perkara berkaitan dua kerusi bertindih ini bukan penamat,” katanya.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, pula berkata pihaknya akan akur terhadap keputusan konsensus dibuat pimpinan pusat berhubung agihan kerusi yang bertindih itu.

“Masih dalam proses rundingan dan ia adalah perkara biasa, kali ini kita lebih matang berhubung pengagihan kerusi ini untuk memastikan keputusan terbaik mampu dicapai,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia