Tangani kesan kenaikan minyak
Tambah BR1M, subsidi pengangkutan awam bantu golongan berpendapatan rendah: Maybank IB
Meningkatkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), subsidi tiket Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta subsidi diesel kepada bas sekolah dan awam antara langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan beban kenaikan harga bahan api kepada golongan berpendapatan rendah.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata langkah untuk mengembalikan subsidi bahan api seperti yang dilaksanakan sebelum ini adalah tidak baik memandangkan ia hanya memberi manfaat yang lebih kepada golongan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, pemberian subsidi bersasar adalah lebih berkesan dalam menangani kesan kenaikan harga minyak mentah global terhadap golongan berpendapatan rendah.
“Saya tidak bersetuju subsidi bahan api dilaksanakan semula kerana ia akan memanfaatkan mereka yang berpendapatan tinggi berbanding berpendapatan rendah.
Unjuran harga minyak
“Dengan harga bahan api diapungkan ketika ini, kerajaan perlu memperkemaskan langkah sedia ada seperti meningkatkan pemberian BR1M, memberikan subsidi kepada harga tiket MRT dan LRT serta bas sekolah dan awam,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Suhaimi berkata, Maybank IB mengunjurkan harga minyak mentah berlegar pada paras purata AS$60 satu tong pada tahun ini berbanding unjuran AS$54 satu tong pada 2017.
Beliau berkata, pihaknya juga mengunjurkan setiap kenaikan AS$10 satu tong bagi purata tahunan harga minyak mentah akan meningkatkan pendapatan minyak dan gas kerajaan tidak termasuk dividen PETRONAS sebanyak RM4 bilion.
Malah, jumlah itu, jelasnya, boleh mencecah RM7 bilion sehingga RM8 bilion jika termasuk dividen PETRONAS.
“Dengan 2018 adalah tahun pilihan raya, potensi peningkatan pendapatan kerajaan menyediakan ruang untuk meningkatkan perbelanjaan bersasar,” katanya.
Eksport, import terus berkembang
Mengenai prospek pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, Suhaimi berkata, Maybank IB mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus bagi 2018, dipacu pertumbuhan berterusan pelaburan dan penggunaan.
Beliau berkata, eksport dan import akan terus berkembang berikutan momentum pertumbuhan global yang kukuh.
Bagi ringgit pula, Maybank IB mengunjurkan mata wang tempatan itu terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mengakhiri tahun ini pada paras RM3.90 untuk AS$1.