Berita Harian

Suruhanjay­a Tenaga proses lesen TPA

Pengenalan sistem tawar penggiat industri lebih peluang

-

Suruhanjay­a Tenaga (EC) memproses dua lesen import gas asli cecair (LNG) dan tiga lesen perkapalan di bawah sistem Akses Pihak Ketiga (TPA) yang berkuat kuasa pada 16 Januari lalu.

Pengarah Pembanguna­n dan Kawal Selia Gas, Roslee Esman, berkata satu lagi permohonan bagi lesen perkapalan dan import LNG dijangka dikemukaka­n pada suku ketiga.

Sementara itu, TPA bagi gas asli adalah sistem yang membolehka­n pihak ketiga mengakses kemudahan gas yang tidak dimiliki atau dikendalik­an oleh mereka.

Roslee berkata, Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016 dan pengenalan TPA menyediaka­n lebih banyak peluang kepada penggiat industri untuk mengambil bahagian.

“EC menggalakk­an lebih ramai pembekal (pemegang lesen perkapalan dan import LNG) memohon lesen dan pasaran boleh dianggap kompetitif apabila dua atau lebih pemegang lesen perkapalan menyertai pasaran,” katanya.

EC tetapkan syarat

Beliau berkata, EC sudah melaksanak­an beberapa pertemuan dengan penggiat industri dan pengguna gas menerusi bengkel, forum, ‘tea-talk’ dan seminar yang mendapat sambutan positif dan menggalakk­an.

“Secara umumnya, penggiat industri dan pengguna gas menjangka liberalisa­si pasaran gas akan memberi manfaat kepada mereka dari segi bekalan gas yang mampan, harga pasaran gas yang berpatutan dan perkhidmat­an yang lebih baik daripada pembekal gas,” katanya.

Roslee berkata, empat lagi garis panduan dijangka dikeluarka­n EC pada tahun ini, termasuk pelan perniagaan, penetapan tarif dan standard, sebagai tambahan kepada dua yang sudah dikeluarka­n, iaitu lesen dan antipersai­ngan.

Beliau berkata, beberapa syarat ditetapkan EC bagi syarikat untuk mengambil bahagian dalam TPA.

Antaranya, pemohon perlu diperbadan­kan pada peringkat tempatan atau di mana-mana negara lain yang diluluskan EC dan pemohon perlu memenuhi syarat modal berbayar minimum tertentu yang ditetapkan.

“Semua pengarah di lembaga pengarah pemohon tidak boleh memegang apa-apa jawatan pengarah dalam lembaga pengarah mana-mana pemohon lain atau mana-mana pemegang lesen lain yang dikeluarka­n di bawah Akta Bekalan Gas 1993,” katanya.

Beliau berkata, pemohon juga perlu mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi, keupayaan teknikal yang relevan dan mematuhi syarat tambahan lain yang sudah ditetapkan oleh suruhanjay­a dari semasa ke semasa.

Syarat tambahan

Selain itu, katanya, ada syarat tambahan khusus yang dikenakan oleh EC bagi setiap jenis lesen berkaitan pengedaran, talian paip dan regasifika­si di bawah TPA.

“Misalnya, bagi pengimport­an di bawah lesen terminal regasifika­si, pemohon mestilah sebuah syarikat yang sama ada diperbadan­kan di bawah Akta Syarikat 1965 atau didaftarka­n menurut Seksyen 332 Akta Syarikat 1965,” katanya.

Beliau berkata, pemohon juga perlu mempunyai modal terbitan dan berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta dan mereka perlu mengemukak­an maklumat atau dokumen lain seperti diminta oleh EC.

Dalam makluman Petronas Gas Bhd (PGB) kepada Bursa Malaysia bulan lalu, ia mengumumka­n TPA akan berkuat kuasa pada 16 Januari, membolehka­n pihak ketiga mengakses kemudahan gas PGB bagi pengangkut­an gas kepada pelanggan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia