Berita Harian

23 suspek Daesh dari Kelantan dilatih di Thailand

Militan guna ‘laluan tikus’ seberang sempadan

- Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

Seramai 23 suspek militan Daesh dari Kelantan yang ditahan polis sejak beberapa tahun lalu, dipercayai mendapat latihan di negara jiran, termasuk Thailand.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengga­nas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan mendapati mereka mendapat latihan, termasuk cara membuat bom daripada rakan pengganas negara jiran.

Bagaimanap­un, katanya, Kelantan bukan negeri yang menjadi pusat latihan militan Daesh walaupun ia berdekatan sempadan.

“Polis menahan 23 suspek militan Daesh dalam beberapa operasi di Kelantan sejak 2013.

“Dua wanita antara mereka yang ditahan di beberapa lokasi, termasuk Kota Bharu dan Kuala Krai.

“Siasatan polis mendapati mereka mempunyai hubungan rapat dengan suspek militan Daesh dari luar dan dalam negeri, termasuk Thailand dan Indonesia.

Lokasi berkumpul

“Kelantan antara negeri lokasi mereka berkumpul,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ayub Khan berkata, sebahagian daripada mereka sudah dibebaskan, ada yang didakwa di mahkamah dan ada yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, pihak polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan Daesh di negara ini, termasuk di negeri sempadan bagi memastikan keselamata­n negara ini dan rakyatnya terjamin.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 28 Mei lalu, Kelantan berada di tempat kelima senarai militan Daesh yang ditangkap.

Perak negeri teratas dengan 39 tangkapan, diikuti Kedah (36), Kuala Lumpur (34) dan Johor (29).

Statistik sama turut menunjukka­n lebih 300 suspek militan Daesh ditahan di negara ini sejak 2013, termasuk pelajar dan warga asing.

Sementara itu, sumber berkata, militan Daesh yang ditahan di Kelantan kebanyakan menggunaka­n ‘laluan tikus’ menyeberan­gi sempadan ke negara jiran.

“Ada sebahagian­nya menggunaka­n laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Rantau Panjang dan menggunaka­n pasport antarabang­sa atau pas sempadan seperti orang biasa.

“Ini antara taktik mereka supaya pihak berkuasa sukar mengesan mereka,” katanya.

 ??  ?? Laluan tikus militan Daesh keluar masuk Thailand di Jalan Rantau Panjang lama.
Laluan tikus militan Daesh keluar masuk Thailand di Jalan Rantau Panjang lama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia