Berita Harian

Dua aktiviti ceroboh hutan dikesan di Perak

Dua suspek ditahan bersama sebuah sampan berisi kayu bakau

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Jabatan Perhutanan Perak mengesan kegiatan menceroboh kawasan hutan simpan di dua lokasi berbeza iaitu Hutan Simpan Bintang Hijau dalam daerah Hulu Perak dan Hutan Simpan Pulau Kelumpang, di daerah Larut Matang Selama.

Pengarahny­a, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata penceroboh­an di Hutan Simpan Bintang Hijau dikesan Ahad lalu, manakala hari berikutnya, anggota penguat kuasa jabatan itu mengesan kes sama di Hutan Simpan Pulau Kelumpang.

“Dalam pemeriksaa­n di Hutan Simpan Bintang Hijau, kami menemui 29 kayu sudah ditebang daripada pelbagai spesies dan sebuah kenderaan pacuan empat roda atau pikap, tetapi tiada sesiapa di situ dipercayai sudah melarikan diri.

“Hasil pemeriksaa­n mempercaya­i ada pihak melakukan aktiviti kesalahan hutan dengan menebang dan memproses kayu di kawasan itu. Kayu dan kenderaan itu dibawa ke stor rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tahan dua suspek penceroboh

Mohamed Zin berkata, dalam rondaan di Hutan Simpan Pulau Kelumpang pula, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki dengan seorang daripadany­a warga asing yang berada dalam sebuah sampan berisi kayu bakau.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu terbabit dalam aktiviti menebang kayu bakau tanpa kebenaran.

Katanya, pemeriksaa­n lanjut mendapati seorang daripadany­a rakyat tempatan dan dibebaskan dengan bon jaminan polis, manakala warga asing berkenaan direman 14 hari bermula semalam.

“Jabatan itu membuat dua laporan polis iaitu masing-masing di Balai Polis Lenggong dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berhubung tangkapan dan rampasan itu.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian 1985) dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM50,000, atau keduaduany­a,” katanya.

Mohamed Zin berkata, pihaknya akan melengkapk­an kertas siasatan secepat mungkin sebelum merujuk kes itu kepada Pejabat Pendakwaan Perak untuk pendakwaan di mahkamah.

 ?? [FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN PERAK] ?? Dua suspek ceroboh Hutan Simpan Pulau Kelumpang, di daerah Larut Matang, Selama diberkas Jabatan Perhutanan Perak, baru-baru ini.
[FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN PERAK] Dua suspek ceroboh Hutan Simpan Pulau Kelumpang, di daerah Larut Matang, Selama diberkas Jabatan Perhutanan Perak, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia