Berita Harian

Hak pucuk pimpinan pilih calon BN Selangor

UMNO Bahagian hanya boleh cadang nama tanding PRU-14: Noh

- Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

UMNO Selangor menyerahka­n sepenuhnya soal calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada kepemimpin­an tertinggi parti.

Pengerusi Perhubunga­nnya, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau sendiri tidak mengetahui siapa calon yang bakal diketengah­kan bagi menghadapi PRU-14, meskipun terdapat UMNO Bahagian yang menamakan calon tertentu.

Tunggu arahan pucuk pimpinan

“Soal calon, kita menunggu arahan daripada pucuk pimpinan. Malah, saya sendiri tak tahu menjadi calon atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkina­n Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengumumka­n kesediaan beliau memberi laluan ‘permaidani merah’ kepada Shahrizat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya akan datang.

Noh berkata, UMNO Bahagian hanya boleh mencadangk­an nama sahaja, manakala keputusan muktamad terletak sepenuhnya pada pimpinan tertinggi parti.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan kerana mereka mempunyai formula tersendiri dalam memilih calon,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerusi Parlimen Sungai Besar yang selama ini kuota tradisi untuk wanita UMNO, Noh berkata, beliau tidak ada sebarang kuota mengenainy­a.

“Seingat saya, mana ada kuota. Kita tidak mengekalka­n kuota,” katanya.

Mengulas prestasi Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang menyandang jawatan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Sungai Besar, Noh berkata, ia berada pada tahap amat baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia