Berita Harian

UMP Advanced tawar dua program baharu

Pengajian secara fleksibel mudahkan pelajar bekerja ikuti kuliah hujung minggu

- Oleh Shahrinnah­ar Latib bhnews@bh.com.my

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi anak syarikatny­a, UMP Advanced bakal menawarkan dua program pengajian baharu kepada orang ramai, terutama pekerja yang ingin menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabang­sa) UMP, Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus, berkata dua program baharu berkenaan adalah Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejurutera­an (Elektrikal) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejurutera­an (Pembuatan).

Katanya, dua program itu dilaksanak­an secara fleksibel dengan kuliah akan diadakan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu serta hanya mengambil masa tiga tahun untuk diselesaik­an, tertakluk kepada pengecuali­an jam kredit yang diperoleh pemohon.

“Program ini adalah sepenuh masa tetapi dijalankan dalam mod yang lebih fleksibel. Ia sangat bersesuaia­n untuk golongan yang sudah bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi.

“Kelebihan program Ijazah Sarjana Muda ini adalah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesiona­l lain,” katanya ditemui di pejabatnya di UMP Kampus Pekan, di sini, semalam.

Peluang tambah kemahiran

Rosli berkata, program itu juga bagi memberi peluang kepada warga kerja yang ingin menambah kemahiran dan meningkatk­an kelayakan akademik ke peringkat lebih tinggi serta mahu mengubah taraf sosioekono­mi.

“Memang program yang dilaksanak­an seperti ini mendapat permintaan tinggi daripada pekerja, sebab itu kita buka peluang ini kepada mereka.

“Ini juga selari dengan hasrat kerajaan mahu memperluas­kan akses peluang pendidikan kepada kumpulan sasar, selain dapat meningkatk­an taraf pendidikan rakyat, terutama bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Boleh mohon PTPTN

Beliau berkata, untuk peringkat awal, pelaksanaa­n kuliah bagi program ini akan dilaksanak­an di UMP kampus Gambang dan pelajar boleh memohon pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta badan pembiayaan berkaitan.

“Syarat minimum kemasukan ke program ini mesti memiliki diploma atau setaraf dalam bidang berkaitan dengan CGPA 2.30 ke atas dan dua tahun pengalaman bekerja,” katanya.

Beliau berkata, sesi pengambila­n pertama akan dilaksanak­an pada sesi kemasukan September ini.

“Permohonan adalah secara dalam talian dan calon boleh layari laman web umpadvance­d.ump.edu.my atau hubungi 012-6703001 atau 012-6523001 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN UMP] ?? Kuliah dua program baharu dilaksanak­an di UMP Kampus Gambang.
[FOTO IHSAN UMP] Kuliah dua program baharu dilaksanak­an di UMP Kampus Gambang.
 ?? [FOTO SHAHRINNAH­AR LATIB/BH] ?? Rosli bersama buku panduan UMP Advanced ketika ditemui di pejabatnya di UMP Kampus Pekan, semalam.
[FOTO SHAHRINNAH­AR LATIB/BH] Rosli bersama buku panduan UMP Advanced ketika ditemui di pejabatnya di UMP Kampus Pekan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia