Berita Harian

Polis siasat kematian bayi baru lahir

-

Johor Bahru: Polis Johor sudah memulakan siasatan berhubung penularan berita kematian seorang bayi yang baru dilahirkan dan disyaki ada kaitan dengan amalan khidmat doula (pembantu ketika melahirkan) di sebuah rumah di Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahka­n pihaknya ada menerima laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan turut menerima laporan polis dibuat seorang wanita yang dipercayai doula terbabit.

“Memang ada keluar banyak kenyataan di Facebook (FB) berhubung kejadian ini dan wanita yang dikatakan doula itu juga ada membuat laporan polis menafikan tuduhan dia terbabit dengan kejadian menyebabka­n kematian bayi itu.

“Kita sudah merujuk dengan keluarga dan wanita yang melahirkan bayi itu, namun menurut kenyataan awal mereka tiada menyebut hal doula ini.

“Jadi, kita memulakan semula siasatan terperinci berdasarka­n apa yang dinyatakan dalam FB dan kita akan mendapatka­n semula maklumat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat bertemu dengan ibu bayi berkenaan malam tadi, kerana wanita itu sedang berehat di kampung dan mahu memberi ruang kepadanya sebelum mengambil keterangan­nya semula.

Belum pasti cerita sebenar

“Kita tidak mahu memberi tekanan kepada ibu bayi berkenaan dan kita tidak tahu lagi apa cerita sebenar yang berlaku.

“Kita juga akan merakamkan percakapan wanita yang dikatakan doula itu, jadi buat masa sekarang saya belum boleh mengesahka­n sama ada kenyataan di FB itu benar atau tidak,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pihaknya juga belum dapat mengklasif­ikasikan kes berkenaan kerana siasatan awal belum dapat menimbulka­n bentuk kesalahan yang berlaku.

“Jika ada berlaku unsur fitnah dalam kes ini, kita akan rujuk ke Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan jika benar proses kelahiran ada membabitka­n apa-apa kesalahan, kita rujuk kepada Kementeria­n Kesihatan serta lihat seksyen sesuai untuk mengambil tindakan,” katanya.

Baru-baru ini, kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah (homebirth) yang didakwa berlaku di negeri ini, menjadi viral di FB.

Amalan ‘homebirth’ itu didakwa menyebabka­n bayi yang baru lahir dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi ketika kelahiran yang kononnya berlaku di bawah pengawasan doula.

Ambil tindakan

Sementara itu, di Georgetown, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika menerima laporan berkaitan kes amalan khidmat doula atau pembantu ketika melahirkan bayi secara ‘homebirth’.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada ibu bapa yang terbabit dengan kes itu.

Katanya, amalan itu juga tidak digalakkan kerana tidak mempunyai kemudahan sesuai dan membahayak­an nyawa ibu serta bayi jika berlaku komplikasi ketika bersalin.

“Kita akan siasat jika ada laporan dan mengambil tindakan sekiranya didapati bersalah kerana ia berisiko kematian, terutama ibu yang mempunyai penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi ketika hamil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia