Berita Harian

‘Tolong hormat kerjaya sendiri’

Roy Marten kecewa pelakon muda terlalu dimanja, ambil mudah soal disiplin

- Oleh Farihad Shalla Mahmud

Sekitar dekad 1970-an, dia antara pelakon Indonesia yang cukup popular di negara ini. Filem seperti Kabut Sutra Ungu, Badai Pasti Berlalu dan Hatiku Bukan Pualam adalah antara yang masih diingati peminat yang membesar dengan lakonannya.

Walaupun sudah lebih empat dekad dalam industri perfileman dan bakal mencecah usia 66 tahun pada bulan depan, nama dan populariti Roy Marten masih lagi ampuh. Ketika kebanyakan pelakon seangkatan­nya sudah tidak lagi beraksi di layar perak atau skrin televisyen, Roy masih aktif dan menjadi pilihan produser.

Apakah rahsia Roy yang masih menjadi buruan penerbit untuk muncul dalam produk mereka?

“Selain dengan izin Tuhan, sentiasa berdisipli­n juga menjadi faktor mengapa saya terus bertahan. Tetapi, perkara itu (disiplin) tidak lagi ada dalam diri kebanyakan pelakon muda hari ini. Mereka selalu datang lewat ke lokasi dan pelakon lain terpaksa menunggu berjamjam untuk memulakan penggambar­an.

“Pernah berlaku apabila ditanya, mereka memberitah­u dalam perjalanan, tetapi sebenarnya berada di luar daerah. Jika begitu, jam berapa penggambar­an akan bermula? Saya jika diberitahu perlu berada di lokasi jam 7 pagi, setengah jam sebelum itu saya sudah bersedia,” katanya.

Cepat naik, cepat hilang

Pemilik nama Wicaksono Abdul Salam yang ditemui sempena promosi drama bersiri lapan episod, Dosa di ibu kota, barubaru ini, bagaimanap­un lebih selesa menyerahka­n kepada produksi untuk menegur pelakon.

“Masingmasi­ng mencari rezeki dan terikat dengan kontrak yang sudah ditandatan­gani. Biasanya, saya akan meminta pihak produksi menegur pelakon yang tidak berdisipli­n. Tetapi, kebiasaann­ya penerbit akan memberi muka sehingga pelakon ini menganggap, perbuatan mereka itu tidak salah.

“Saya hanya ketawa. Selalunya pelakon begini jangka hayat mereka tidak lama. Mungkin mereka hanya mampu bertahan setakat lima tahun dan selepas itu hilang,” kata pelakon kelahiran Salatiga, Jawa Tengah ini.

Selain faktor terlalu dimanjakan penerbit atau pengarah, pelakon yang mengambil mudah soal disiplin juga tidak pernah melalui situasi sukar untuk mencipta nama. Ia tidak sama seperti ketika Roy mula membina tapak apabila terpaksa merangkak dari bawah.

“Pelakon sekarang terlalu mudah mendapat peluang. Di Indonesia, ada berpuluhpu­luh saluran televisyen dan setiap saluran mempunyai pelbagai slot untuk sinetron. Disebabkan terlalu senang mencipta nama, mereka berasa diri popular. Itu yang membuatkan mereka lupa diri,” katanya.

Bangga prestasi Reza Rahadian, Lukman Sardi

Namun, katanya tidak semua pelakon bersikap demikian kerana masih ada yang menghormat­i kerjaya seni mereka seperti Reza Rahadian dan Lukman Sardi.

“Mereka bukan sahaja berdisipli­n, tetapi menghormat­i kerjaya sendiri. Setiap kali di set penggambar­an, mereka akan memastikan sudah bersedia untuk memulakan penggambar­an. Mereka memahami tuntutan karakter, malah dialog juga sudah hafal. Disebabkan itu, mereka layak berada pada kedudukan sekarang,” pujinya.

Nasihat untuk dua anak

Dua anaknya, Gading Marten dan Gibran Marten turut mengikut jejak langkahnya dalam dunia lakonan. Sebagai pelakon berpengala­man, Roy sering menitipkan pesanan berguna dan nasihat kepada anak supaya langkah mereka tidak tersasar.

“Saya sering nasihatkan mereka supaya menjaga disiplin dan jangan sombong. Memang saya pelakon, tetapi saya tidak pernah guna pengaruh untuk membawa mereka ke dalam bidang ini. Mereka perlu berusaha sendiri.

“Apa yang mereka peroleh hari ini adalah atas usaha sendiri dan bukan menumpang populariti saya. Mereka perlu mencipta identiti sendiri dan bukan meniru cara saya,” katanya baru selesai menjalani penggambar­an sinetron, Malaikat Tak Bersayap.

 ?? [ FOTO NURUL SYAFINA JEMENON /BH ] ?? Roy Marten
[ FOTO NURUL SYAFINA JEMENON /BH ] Roy Marten
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia