Berita Harian

KDN buka kertas siasatan

JPN, Jabatan Imigresen ambil langkah segera tingkat pemeriksaa­n

- Oleh Kristy Inus dan Mohd Izham Unnip Abdullah

Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) sudah membuka kertas siasatan berhubung sindiket menjual Mykad palsu berikutan laporan mengenai ahli kumpulan pengganas dikesan memiliki dokumen itu, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata siasatan dilakukan melalui Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) dan polis.

Beliau berkata, JPN dan Jabatan Imigresen juga sudah mengambil langkah segera meningkatk­an pemeriksaa­n terutama di semua pintu masuk dan keluar melalui udara.

“Saya sudah mengarahka­n Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk meletakkan anggota bagi melakukan imbasan secara rawak.

“Ini bagi mengesan sama ada kad pengenalan yang digunakan itu palsu atau tidak. Kita sudah ambil langkah ini lebih awal sebelum ini.

“Jadi kita sudah ambil langkah supaya pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada JPN dan Imigresen,” katanya sambil menambah beberapa tangkapan turut dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat sempena lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, dekat sini, petang semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjay­a Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan berita baru-baru ini bahawa elemen berisiko tinggi dapat meloloskan diri ke negara ini menggunaka­n kad pengenalan palsu.

Dalam satu laporan eksklusif pada 12 Februari lalu, NSTP mendedahka­n elemen berisiko tinggi termasuk pengganas asing menyusup masuk ke negara ini menggunaka­n dokumen pengenalan Malaysia.

Suspek masuk secara haram

Ia termasuk suspek pengganas dari Filipina yang masuk secara haram ke Sabah bagi mendapatka­n dokumen sebelum ke Semenanjun­g dengan ada antaranya bekerja sebagai pengawal keselamata­n.

Menjawab soalan mengenai sindiket yang beroperasi dari Sabah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan terus memantau situasi di seluruh negara walaupun tiada tangkapan di negeri lain.

Katanya, kedudukan Sabah yang dekat dengan negara jiran memudahkan sindiket beroperasi dari negeri ini.

Terdahulu, beliau berkata, kementeria­n akan mengambil tindakan segera untuk menaik taraf kemudahan berek atau tempat tinggal anggota polis di semua 20 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah dan lima batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), selain Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam hal lain, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan meneliti cadangan Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berhubung penubuhan Jabatan Keselamata­n Aktiviti Air bagi menangani kes lemas.

Sementara itu, malam tadi Ahmad Zahid mempengeru­sikan mesyuarat UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Timbalan Perdana Menteri yang diiringi Musa merangkap Pengerusi BN Sabah, tiba pada jam 8.35 malam.

Mesyuarat dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA, MIC dan Gerakan.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Pemimpin lain kelihatan ialah Pemangku Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau; Presiden LDP, Datuk Teo Chee Kang dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

Difahamkan, mesyuarat itu akan membincang­kan persediaan dan pelbagai isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sabah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri juga sempat menziarahi bekas Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

Sakaran yang berusia 89 tahun dirawat di sebuah hospital swasta di sini akibat kecederaan tulang belakang.

Beliau mengalami kecederaan itu minggu lalu apabila tergelinci­r ketika hendak mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh.

 ?? [FOTO IHSAN JKM SABAH] ?? Ahmad Zahid menziarahi Tun Sakaran di hospital swasta, di Kota Kinabalu, semalam. Hadir sama Musa.
[FOTO IHSAN JKM SABAH] Ahmad Zahid menziarahi Tun Sakaran di hospital swasta, di Kota Kinabalu, semalam. Hadir sama Musa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia