Berita Harian

Imigresen tamat Program Rehiring 30 Jun

Susulan tempoh sah laku E-kad tamat pada 15 Februari lalu

- Oleh Nur Afiradina Arshad

Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) ditamatkan pada 30 Jun tahun ini.

Hal ini adalah susulan tempoh sah laku program E-kad yang bertujuan membolehka­n pendatang dan majikan mendapatka­n dokumen perjalanan atau pasport di kedutaan bagi tujuan Rehiring, tamat pada 15 Februari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pada permulaan program E-kad dilaksanak­an pada 15 Februari hingga 30 Jun tahun lalu adalah bagi mendaftar pendatang yang mempunyai majikan tetapi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

“Kini selepas 15 Februari 2018, pendatang yang mempunyai E-kad boleh diproses melalui Program Rehiring oleh Imigresen hingga 30 Jun tahun ini dengan hala tuju yang sudah ditetapkan.

“Pemegang E-kad yang sudah mempunyai pasport sah boleh meneruskan proses Rehiring melalui syarikat yang dilantik, iaitu Konsortium PMF, Bukti Megah Sdn Bhd dan Internasio­nal Marketing and Net (IMAN) Resources Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sentiasa jalan operasi

Mustafar berkata, bagi memastikan kelancaran proses ini, satu Pasukan Petugas Program Rehiring antara Imigresen dan tiga syarikat yang dilantik akan diteruskan untuk menyelesai­kan Rehiring pemegang E-kad hingga 30 Jun ini.

“Bahagian penguatkua­saan sentiasa menjalanka­n operasi penguatkua­saan dan pemeriksaa­n ke atas pendatang, iaitu pemegang Ekad bagi memastikan mereka ini mempunyai pasport yang masih sah bagi tujuan Rehiring.

“Sekiranya pemegang E-kad berkenaan gagal mengemukak­an pasport selepas 15 Februari tahun ini, satu tindakan undang-undang sedia ada akan dikuatkuas­akan,” katanya.

Bagi pemegang E-kad yang tidak layak menyertai Program Rehiring hendaklah terus diproses penghantar­an pulang ke negara mereka dengan program 3+1 melalui vendor Rehiring yang mendaftar pendatang berkenaan.

“Pihak kami ingin mengingatk­an majikan dan pendatang supaya mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia