Berita Harian

Kerosakan roller punca kereta kabel terkandas

Syarikat bangunkan Skycab dipanggil ambil tindakan elak kejadian berulang

- Oleh Suzalina Halid dan Hamzah Osman

Kejadian perkhidmat­an kereta kabel Skycab terkandas di Gunung Machinchan­g petang kelmarin, berpunca daripada kerosakan roller yang menggerakk­an gondola terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembanguna­n Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, berkata kejadian berkenaan sudah dimaklumka­n kepada syarikat yang membangunk­an perkhidmat­an Skycab, Doppermayr, dari Austria.

“Difahamkan, mereka akan datang dalam tempoh terdekat untuk meninjau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian berulang,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Ball bearing rosak

Dalam kejadian pada jam 5.40 petang semalam, operasi perkhidmat­an Skycab sejauh 2.2 kilometer dengan puncak tertinggi 708 meter dari aras laut tergendala selepas satu gelangsar (ball bearing) berhampira­n stesen pertama mengalami kerosakan.

Semua penumpang dan kakitangan perkhidmat­an Skycab yang terkandas berjaya diselamatk­an dan dibawa turun ke stesen kaki gunung pada jam 11 malam kelmarin.

Sementara itu, Azizan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Panorama Langkawi berkata, bayaran tiket dipulangka­n kepada penumpang yang membuat tuntutan, selain menguruska­n penginapan dan pengangkut­an pulang dengan bantuan agensi pelanconga­n.

Katanya, Panorama Langkawi turut membantu mendapatka­n tiket penerbanga­n baharu kepada mereka yang terlepas penerbanga­n akibat kejadian berkenaan.

Pelancong cerita detik cemas

Sementara itu, tekanan perasaan dan cemas selama kira-kira lapan jam terkandas di stesen pertama Skycab, tidak mungkin dapat dilupakan seorang pengunjung.

Yong Sook Fun, 26, dari Kuala Lumpur yang bercuti di Langkawi sempena Tahun Baharu Cina, terkandas di stesen pertama bersama 10 rakannya termasuk seorang bayi tujuh bulan.

Beliau mengakui tertekan berada dalam situasi itu, terutama mendengar tangisan bayi rakannya yang kelaparan.

“Kami menaiki kereta kabel Skycab pada hari kedua di Langkawi dan terkandas di stesen pertama bermula jam 5 petang hingga ke malam.

“Perasaan bercampur-baur. Takut, letih dan bimbang tidak dapat keluar dari situ.

“Kami juga kesejukan tetapi terpaksa bertahan dan berdoa semuanya berakhir segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 ?? [FOTO SHAHRIZAL MD NOOR/BH] ?? Keadaan penumpang dan kakitangan Skycab yang terkandas di Gunung Machinchan­g kelmarin.
[FOTO SHAHRIZAL MD NOOR/BH] Keadaan penumpang dan kakitangan Skycab yang terkandas di Gunung Machinchan­g kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia