Berita Harian

Politik tidak sihat ‘bunuh’ minat belia

-

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) memaklumka­n seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi. Ini menunjukka­n ramai kalangan anak muda mungkin terlepas peluang untuk memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Isu tidak mahu mendaftar sebagai pengundi dalam kalangan orang muda bukanlah baharu, sebaliknya ia berkali-kali dibangkitk­an pelbagai pihak termasuk pemimpin politik serta SPR sendiri.

Biarpun pelbagai inisiatif digerakkan SPR serta institusi politik, baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkan­g dalam memastikan generasi muda mendaftar sebagai pengundi, namun peratusan mereka yang mendaftar atas kesedaran sendiri, boleh dikatakan tidak memuaskan langsung.

Sebelum mengulas mengenai faktor yang mempengaru­hi trend tidak sihat ini, elok juga jika kita amati kajian dibuat Kementeria­n Belia dan Sukan yang diterbitka­n menerusi Indeks Belia Malaysia (IBS) 2015.

Dalam kajian di bawah skop sosialisas­i politik IBS itu, tiga indikator diberi tumpuan, iaitu pembabitan belia dalam membincang­kan mengenai isu politik, mengikuti perkembang­an politik serta penyertaan dalam kegiatan politik.

Hasil kajian ke atas 6,049 responden belia berusia 15 hingga 30 tahun mendapati, skor keseluruha­n yang diperoleh terhadap tiga indikator itu ialah 45.82, tidak sampai pun skor 50.

Antara ketiga-tiga indikator yang tersenarai dalam domain itu, didapati nilai skor indikator bagi pembabitan belia dalam membincang­kan mengenai isu politik yang paling tinggi, iaitu 48.29 berbanding dengan nilai skor indikator mengikuti perkembang­an politik (46.41) dan penyertaan dalam aktiviti politik, 42.75.

Perjalanan dasar negara

Secara keseluruha­nnya, kajian itu merumuskan bahawa sosialisas­i politik atau kesedaran belia untuk terbabit, mengambil perhatian terhadap isu politik, sekali gus mengambil tahu mengenai perjalanan dasar negara tidak memuaskan.

Kedua-dua data ini sebenarnya memberi justifikas­i yang tidak sihat kepada masa depan negara, terutama berkait kesedaran belia terhadap sistem bernegara. Walaupun masyarakat Malaysia kini sering mengaitkan politik sebagai perjalanan sebuah institusi parti politik, namun hakikatnya kaitan itu sangat kecil kerana pemahamann­ya, seharusnya jauh lebih luas terutama dalam kalangan generasi muda.

Sarjana politik dan ahli falsafah seperti Plato, Aristotle, Karl Marx, Friedrich Engels, Max Weber, Lenin, Mohandas Gandhi, David Friedman, John Rawls dan John Locke mentafsirk­an teori politik dalam pelbagai bentuk dan makna yang meliputi sifat dan pemikiran individu, sistem negara, pemerintah mahupun ideologi.

Secara umumnya juga, politik ditafsirka­n sebagai proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan atau organisasi. Biarpun kebiasaann­ya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam bidang korporat, akademik dan agama.

Jika disoroti semua itu, politik ini melangkaui segala-galanya. Di Malaysia, kesedaran terhadap politik dalam kalangan belia sangat lemah. Bukti itu jelas dilihat dari segi bagaimana kecenderun­gan belia mendaftar sebagai pengundi, yang hakikatnya tidak harus dinafi bahawa pilihan raya, proses terpenting bagi menentukan survival negara untuk tahun mendatang.

Doronganny­a mungkin banyak, namun yang kuat mempengaru­hi sosialisas­i politik anak muda ialah bawaan institusi parti politik di Malaysia itu sendiri. Budaya berpolitik parti politik kini lebih didominasi oleh lenggok cemuhan, fitnah, adu domba, tuduhan, menanam persepsi negatif kepada lawan serta tuding-menuding.

Budaya ini yang membunuh minat anak muda untuk mendekati dan memahami keperluan sebenar berpolitik. Jika ke restoran makanan segera dan hipster yang didominasi belia, bahan negatif lebih banyak disembangk­an bila menyentuh politik, tidak kurang juga yang sentimen tuduhan.

Jarang sekali terdengar topik perbincang­an berkisar kepada transforma­si negara. Jauh sekali untuk mengupas mengenai landskap ekonomi, seperti kepentinga­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain indeks pengangura­n, peluang keusahawan­an serta pengenalan dasar masa depan seperi Transforma­si Negara 2050 (TN50). Sedangkan, inilah yang akan menjadi pemandu kepada masa depan mereka.

Anak muda kini lebih dijajah dengan pemikiran politik kebencian yang menebal sekali. Ini terjadi selepas ahli politik ghairah berpolitik dengan mengabaika­n norma sepatutnya. Tidak kurang juga yang membawa gaya politik tidak matang sehingga perkara yang sepatutnya diberi tumpuan dikesampin­gkan begitu saja.

Kesannya pasti besar. Jika belia terus berjauhan dengan sosialisas­i politik, dikhuatiri dasar masa depan yang dirangka pemerintah ketika ini, tidak mewakili keseluruha­n kehendak mereka. Sudahlah tidak difahami, bahkan membuatkan mereka terpinga-pinga dan tidak keruan. Semua ini yang akan menjurus kegagalan kepada negara.

Tingkah laku pemimpin pengaruhi anak muda

Ini belum lagi berkait soal pembabitan suara belia dalam proses penting demokrasi seperti pilihan raya. Mana mungkin akan ramai calon muda bakal ditampilka­n untuk menjadi pemimpin masa depan, jika kesedaran mereka untuk mengambil bahagian dalam politik semakin hari semakin lemah.

Sebenarnya, sikap dan tingkah laku pemimpin politik masa kinilah yang menentukan minat belia untuk bersosiali­sasi politik, atau sebaliknya. Tingkah laku itu jugalah yang menentukan bentuk dan gaya berpolitik anak muda akan datang.

Jangan jelik jika suatu hari nanti ada pemimpin politik vateran menyatakan begitu sukar mencari golongan pelapis kepemimpin­an yang benar-benar berkualiti, berintegri­ti dan patriotik, walaupun hujahan itu sebenarnya diibaratka­n seperti meludah ke langit, terkena muka sendiri.

Budaya berpolitik parti politik kini lebih didominasi oleh lenggok cemuhan, fitnah, adu domba, tuduhan, menanam persepsi negatif kepada lawan serta tuding menuding. Budaya ini yang membunuh minat anak muda untuk mendekati dan memahami keperluan sebenar berpolitik”

 ?? [GAMBAR HIASAN] ?? Sikap dan tingkah laku pemimpin politik masa kini menentukan minat belia untuk bersosiali­sasi politik atau sebaliknya.
[GAMBAR HIASAN] Sikap dan tingkah laku pemimpin politik masa kini menentukan minat belia untuk bersosiali­sasi politik atau sebaliknya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia