Berita Harian

Bayi ada masalah hempedu perlu RM250,000

-

Marang: “Saya tidak sanggup lagi melihat anak meragam kerana sakit, justeru berharap kos pembedahan itu berjaya dikumpul pada masa terdekat,” kata Siti Rokiah Ab Wahab, 39, ibu kepada Muhammad Faris Wifiuddin Faris Irwan berusia sembilan bulan yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat, semalam.

Faris Wifiuddin mengalami masalah saluran hempedu tersumbat sejak lahir dan selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China membabitka­n kos rawatan keseluruha­n, termasuk penginapan dan pengangkut­an penjaga sebanyak RM250,000.

Siti Rokiah berkata, anaknya itu mengalami masalah itu sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan pertama pada Ogos 2017, tetapi masalah anaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini dan sering meragam kerana sakit.

“Sebagai ibu saya tidak sanggup melihat anak berterusan menahan sakit seperti itu, biasanya Faris Wifiuddin hanya tidur sekejap dan apabila sedar dia akan merengek sakit.

Beliau berkata, dia merujuk anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Pembedahan segera

Faris Wifiuddin kemudian dihantar ke PPUM untuk mengesan penyakit sebenar.

“Kami diminta menguruska­n pembedahan pemindahan hati di China secepat mungkin dan saya sendiri akan menjadi penderma hati kepada Faris Wifiuddin.

“Cuma masalah sekarang ialah kos rawatan keseluruha­n dan kos sara hidup penjaga di sana selama dua bulan sangat tinggi, membuatkan kami terpaksa meraih simpati orang ramai untuk menghulurk­an bantuan bagi mempercepa­tkan proses pembedahan itu,” katanya yang tinggal di Kampung Tebakang, Marang.

Siti Rokiah berkata, sejak penderitaa­n anaknya dan tabung kutipan bagi membiayai kos rawatan itu menjadi viral di media sosial, dia berjaya mengumpul RM11,000 hasil sumbangan orang ramai.

“Saya harap lebih ramai tampil membantu Faris Wifiuddin dengan harapan pembedahan boleh dilakukan segera selewat-lewatnya hujung bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Faris Irwan berkata, dia ingin melihat anak bongsunya sihat seperti tiga anaknya yang lain, iaitu Siti Aisyah Umaira, 7, Siti Asiah Qaisara, 6, dan Muhammad Faris Hafizuddin,3.

“Masalah itu juga dalam pengetahua­n kerajaan negeri dan pihak bertanggun­gjawab yang lain, malah permohonan bantuan Tabung Darul Iman sudah dibuat dan diharap diluluskan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurk­an bantuan kepada Faris Wifiuddin boleh menghubung­i talian 014-8191406 atau terus menghulurk­an sumbangan ke akaun BSN 0212929000­003812.

 ?? [FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI/BH] ?? Siti Rokiah memangku Faris Wifiuddin yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat.
[FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI/BH] Siti Rokiah memangku Faris Wifiuddin yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia