Mohd Rais Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi baharu TM
Telekom Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Rais Azhar sebagai Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi (CTIO) baharu, berkuat kuasa 18 Februari 2018.
Ia susulan persaraan Datuk Rafaai Samsi sebagai Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi pada 14 Februari lalu. Sebelum ini, Mohd Rais adalah Timbalan Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi dan beliau juga kekal menjawat jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat TM yang dipegangnya sejak 2017.
Mohd Rais menyertai TM pada 1988 dan tahun ini genap 30 tahun beliau bersama TM.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, TM berkata sebagai Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi, Mohd Rais akan bertanggungjawab terhadap Rangkaian, Teknologi Maklumat dan penyampaian, penyediaan dan jaminan teknikal untuk kumpulan.
“Selain itu, beliau juga akan merangka strategi, merumus, mengarah dan memimpin pelaksanaan dan operasi organisasi Keselamatan Maklumat.
“Ini merangkumi Strategi Keselamatan Maklumat, Reka Bentuk, Kawal selia, Risiko, Pematuhan, Pembangunan, Ancaman Pintar dan Operasi bagi memastikan Kerahsiaan, Integriti dan Ketersediaan aset maklumat Kumpulan TM sentiasa dilindungi,” katanya.
Pengalaman luas
Mengulas mengenai pelantikan baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada Mohd Rais atas perlantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi TM.
“Sebagai pemimpin yang lahir dari dalam TM sendiri, beliau memiliki pengalaman dan kepakaran untuk meningkatkan inovasi di TM dalam era segalanya digital ini,” katanya.
Mohd Rais mempunyai pengalaman luas dalam industri telekomunikasi di Malaysia dan beliau adalah satu daripada perintis yang menubuhkan pasukan Corporate Information Superhighway (COINS) yang menyediakan perkhidmatan Frame Relay TM pertama pada 1997.
Beliau juga terbabit dan memimpin secara aktif pelbagai projekprojek transformasi di TM termasuklah keduadua projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).
Mohd Rais adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Komputer) dari Indiana State University, Amerika Syarikat.