Berita Harian

Rezeki tukang jahit bertambah

Pusat latihan beri kemahiran ibu tunggal, OKU jahit baju, sulam

- Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

Ibu tunggal dan wanita kurang upaya yang berpendapa­tan rendah serta sederhana di negeri ini menarik nafas lega apabila mampu meningkatk­an taraf hidup selepas mengikuti kelas menjahit di Pusat Latihan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Armalah, sejak tahun lalu.

Pusat latihan dengan kos RM1 juta yang beroperasi pada Mei tahun lalu, terletak di Bazar Siti Aisyah, dekat sini, dibina hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kementeria­n Kewangan.

Ketika ini, seramai 13 peserta termasuk ibu tunggal dan dua wanita OKU mengikuti latihan menjahit dan menyulam.

Peserta OKU, Saripah Dollah, 47, berkata beliau bersyukur diberi peluang mengikut aktiviti dan latihan di pusat itu.

“Sejak saya menyertai kelas di pusat ini Alhamdulil­lah dapat meningkatk­an ilmu menjahit dan menyulam.

Rekaan lebih menarik

“Saya bangga kerana berjaya menghasilk­an rekaan baju yang lebih menarik berbanding sebelum ini.

“Saya juga mendapat tempahan yang semakin banyak apabila mereka berpuas hati dengan hasil kerja tangan ini, sekali gus dapat menambahka­n pendapat saya,” kata ibu kepada lima anak yang berasal dari Machang.

Saripah yang cacat pendengara­n dan bisu sejak lahir, berkata sebelum ini, mereka sekeluarga hanya bergantung sepenuh pendapatan suaminya, Soh Hassan, 55, yang bekerja bekerja sebagai pembuat perabot.

“Suami saya membuat perabot hasil tempahan pelanggan. Pendapatan bulanan kecil dan tidak menentu. Pendapatan bulanan bergantung kepada berapa banyak tempahan dan ia tidak dapat menampung perbelanja­an untuk kami sekeluarga.

“Kini saya menjahit baju dan jubah dengan pendapatan antara RM500 dan RM600 sebulan,” katanya yang berkomunik­asi menggunaka­n bahasa isyarat.

Seorang peserta OKU yang cacat mata kanan selepas terkena tandukan kerbau tiga tahun lalu, Suriati Ibrahim, 35, berkata beliau berjaya menambah pendapatan keluarga selepas menyertai kelas di pusat latihan terbabit.

“Sebelum ini, saya menyertai kelas yang sama di Telipot, selama enam bulan tetapi mendapati ia tidak mencukupi untuk menghasilk­an rekaan yang cantik dan menarik minat pelanggan.

“Selepas saya mengikuti latihan menyulam selama dua tahun di pusat ini, ia menampakka­n hasil yang amat baik. Saya berjaya mempelbaga­ikan teknik sulaman,” katanya.

Anak kelahiran Bachok ini berkata, beliau banyak menerima tempahan membuat sulaman untuk telekung dan baju kurung.

“Pendapatan saya bertambah setiap bulan. Saya masih bujang dan menggunaka­n wang itu sebaik mungkin.

“Sebahagian­nya saya beri kepada ibu bapa, manakala sebahagian lagi untuk simpa- nan masa depan,” katanya yang juga anak keempat daripada 12 beradik.

Sementara itu, Exco Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi, berkata pusat itu antara yang terbesar di negeri ini.

Katanya, setakat ini, sebanyak 45 pusat Pembanguna­n Wanita Kelantan (PPWK) ada di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Berdikari, bantu keluarga

“Kerajaan negeri ingin melihat wanita OKU dan ibu tunggal negeri ini berdikari mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.

“Sehingga kini, seramai 4,587 tukang penjahit dilahirkan daripada pusat latihan itu yang turut menyediaka­nenammodul, iaitu menjahit blaus, skirt, kurung tradisiona­l, kurung moden dan pakaian kanak-kanak,” katanya.

Mumtaz berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan terbabit dengan memperuntu­kkan RM4.5 juta setahun bagi tujuan latihan di pusat terbabit.

“Kerajaan negeri juga hanya mengenakan yuran minimum kepada peserta bagi meringanka­n beban mereka,” katanya.

 ?? [ FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH ] ?? Sebahagian peserta yang mengikuti kelas menjahit sulaman di Pusat Latihan OKU dan Armalah di Kota Bharu.
[ FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH ] Sebahagian peserta yang mengikuti kelas menjahit sulaman di Pusat Latihan OKU dan Armalah di Kota Bharu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia