Berita Harian

Suka berkhayal beri kelebihan

-

Kuala Lumpur: Siapa sangka, sikap suka berkhayal pengarang British, Fiona Mozley, yang sering menyebabka­nnya ketinggala­n di sekolah akhirnya ‘berguna’ selepas beliau bergelar pengarang.

Berada dalam senarai pendek Hadiah Man Booker tahun lalu melalui novel pertamanya, Elmet, Mozley bukanlah orang yang boleh mengikuti rutin dan beliau dengan mudah ‘berupaya’ hilang jejak pada masa.

Mozley berkata, beliau boleh bersiap, mandi dan memberus gigi pada waktu pagi tetapi kemudian tiba-tiba berhenti dan masuk ke alam khayalanny­a.

“Saya masih begini dan kemampuan untuk keluar daripada realiti ini sering membuatkan keluarga dan rakan berasa geram.

“Saya bukan sahaja lupa sepenuhnya dengan tugas yang patut disempurna­kan tetapi ada masanya tidak langsung mendengar apa yang mereka perkatakan,” katanya seperti dipetik melalui laman The Guardian.

Ilham muncul ketika berkhayal

Hanya selepas secara rasminya menjadi penulis, sikap berkhayal Mozley kini menjadi seolah-olah satu pekerjaan kerana ketika berkhayal, ilhamnya akan muncul.

“Ia seolah-olah mengesahka­n aspek dalam personalit­i dan rutin harian saya sebelum ini sebenarnya adalah sebahagian satu proses kreatif.

“Saya kini mempunyai karier yang bersesuaia­n dengan kelemahan dan kekuatan saya pada masa sama,” katanya.

Mozley berkata, kini beliau memulakan harinya dengan secawan atau lima cawan kopi.

“Ada masanya saya menulis di komputer atau dengan tangan. Saya mempunyai obsesi kepada alat tulis dan akan membeli buku nota dan pen baharu walaupun tidak memerlukan­nya

“Ada masanya timbul rasa bersalah tetapi kemudian saya sedar jika kepuasan menulis di atas kertas baru itu membolehka­n saya menulis walaupun hanya beberapa perkataan, ia mungkin sesuatu yang bernilai walau seberapa membazir pun ia,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia