Berita Harian

Gol minit keberapa turut diatur bookie

Semua elemen perlawanan boleh jadi bahan pertaruhan

- Oleh Zulfaizan Mansor

Bukan saja mengatur keputusan penuh perlawanan, malah pelbagai elemen lain turut menjadi ‘bahan’ pertaruhan dalam perjudian bola sepak.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Za’im Ahmad menjelaska­n antara elemen lain yang turut diatur bookie sebagai pertaruhan termasuk minit ke berapa jaringan akan dihasilkan, jumlah gol babak pertama dan kedua serta siapa penjaring gol.

Za’im bagaimanap­un berkata, elemen yang digunakan itu bergantung kepada jenis perlawanan itu sama ada aksi liga biasa dan perlawanan penting termasuk separuh akhir atau final.

“Memang bukan saja jumlah jaringan yang biasa menjadi pertaruhan, ia merangkumi pelbagai elemen dengan bookie yang akan menentukan jenis pertaruhan itu.

“Jadi mereka (bookie) akan mendekati pasukan yang menjadi sasaran mereka dengan menawarkan ganjaran yang sukar untuk ditolak oleh pemain atau individu dalam pasukan itu.

Mudahkan urusan

“Mereka juga akan bekerjasam­a dengan ‘orang dalam’ untuk memudahkan urusan termasuk pemain, pegawai pasukan atau individu yang terbabit dengan pengurusan pasukan,” kata Za’im yang pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu rasuah dalam bola sepak Malaysia kembali hangat diperkatak­an apabila dua pemain Liga Perdana Sarawak kini disiasat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengatur perlawanan ketika berdepan FELCRA FC pada 10 Februari lalu.

Selain itu, Za’im berkata, bookie biasanya akan mengkaji manamana pasukan yang akan menjadi sasaran mereka sebelum membuka langkah mendekati pasukan itu.

Katanya, antara pasukan yang sering menjadi sasaran adalah yang berdepan masalah kewangan dan pasukan yang sudah tidak mampu bersaing merebut kedudukan teratas.

“Bagaimanap­un, semua pasukan sebenarnya terdedah kepada sasaran bookie tanpa melihat pemain memiliki nama besar atau tidak dan pasukan terbaik atau tidak.

“Pelbagai modus operandi yang digunakan bookie dan ia bergantung kepada siapa yang mengendali­kan pertaruhan itu atau sejauh mana besarnya operasi pertaruhan mereka,” katanya.

 ??  ?? Za’im Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan UUM
Za’im Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan UUM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia