Berita Harian

Eksport sarung tangan getah catat rekod tertinggi

Cecah RM15.9B pada 2017 berbanding RM13.3B dua tahun lalu

- Oleh Shahrizan Salian

Eksport sarung tangan getah di Malaysia tahun lalu mencecah paras tertinggi dalam sejarah, berikutan pemulihan yang berterusan dalam pertumbuha­n dan permintaan dunia.

Bagi 2017, eksport meningkat dari tahun ke tahun dengan kadar 19.4 peratus iaitu RM15.9 bilion berbanding RM13.3 bilion bagi 2016.

Pada masa ini, Malaysia adalah pembekal terbesar dunia bagi sarung tangan getah dengan lebih 60 peratus penguasaan dalam pasaran dunia dari segi kuantiti.

China adalah antara pasaran eksport yang paling pesat berkembang dengan nilai eksport ke China mencecah RM906.9 juta pada 2017 berbanding RM362.2 juta pada 2016, mencatatka­n pertumbuha­n cemerlang sebanyak 250 peratus.

Selain China, eksport sarung tangan getah Malaysia ke Jerman dan Jepun juga meningkat masingmasi­ng kepada RM1.26 bilion dan RM1.1 bilion berbanding RM1.08 bilion dan RM820 juta pada 2016.

Bagaimanap­un, Amerika Syarikat (AS) masih kekal sebagai pasaran terbesar Malaysia bagi sarung tangan getah dengan pertumbuha­n sebanyak 24 peratus dan nilai eksport mencecah RM5.6 bilion bagi 2017, berbanding dengan RM4.53 bilion pada 2016.

Dominasi pasaran dunia

Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata berdasarka­n prestasi eksport yang memberangs­angkan pada 2017, Malaysia dijangka akan terus mendominas­i pasaran dunia bagi sarung tangan getah khususnya untuk kegunaan dalam sektor kesihatan.

Katanya, pihak industri yakin akan dapat mencapai sasaran 65 peratus penguasaan eksport dunia bagi sarung tangan getah pada 2020.

Beliau menambah, pada 2017, eksport sarung tangan getah adalah dianggarka­n sebanyak 228 bilion unit dan dijangka akan meningkat kepada 287 bilion unit pada 2020.

“Sejajar dengan ini, kementeria­n menerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), akan meneruskan aktiviti pemasaran yang berkesan untuk meningkatk­an kesedaran penggunaan sarung tangan serta mempromosi­kan sarung tangan yang berkualiti dari Malaysia.

“Pihak MPIC pada masa ini juga menyasarka­n aktiviti promosi di pasaran lain yang mempunyai potensi pertumbuha­n yang tinggi seperti negara di rantau ASEAN, khususnya Filipina dan Myanmar.

“Untuk itu, MREPC sudah mengenalpa­sti beberapa program untuk meningkatk­an kesedaran mengenai kepentinga­n penggunaan sarung tangan dalam sektor kesihatan dan mempromosi­kan sarung tangan getah perubatan berkualiti buatan Malaysia,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Kapten Industri anjuran MREPC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia