Inflasi bukan teras kuasai kadar inflasi 2017
Kadar inflasi diukur oleh indeks harga pengguna (IHP) pada tahun lalu secara umumnya adalah lebih tinggi berbanding dengan 2016. Purata kadar inflasi IHP pada 2017 adalah 3.9 peratus berbanding dengan 2.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia sudah menyemak semula kadar inflasi IHP untuk 2017 kepada 3.7 peratus.
Peningkatan paras harga biasanya disumbangkan sama ada oleh peningkatan permintaan yang tinggi atau peningkatan kos pengeluaran atau keduaduanya.
Keduadua faktor berkenaan memainkan peranan menyumbangkan kepada peningkatan harga pada tahun lalu.
Prestasi ekonomi tahun lalu adalah melampaui jangkaan, di mana keluaran dalam negeri kasar (KDNK) tumbuh pada kadar 5.9 peratus.
Kadar pertumbuhan itu adalah 0.3 mata peratusan lebih baik dari unjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), iaitu pada kadar 5.6 peratus.
Pertumbuhan yang tinggi itu disumbangkan terutama oleh permintaan domestik dan disokong oleh permintaan antarabangsa yang sihat.
Pertumbuhan permintaan domestik terutamanya disumbangkan oleh peningkatan perbelanjaan swasta yang tumbuh pada kadar 7.0 peratus, manakala pelaburan dianggarkan tumbuh pada kadar 4.3 peratus setahun.
Peningkatan permintaan domestik yang memberangsangkan itu sudah tentu memberi tekanan menaik ke atas paras harga. Kesan ini sering disebut sebagai peningkatan kadar inflasi yang disebabkan oleh tarikan permintaan.
Pertumbuhan kadar perbelanjaan swasta juga selari dengan keadaan pasaran buruh yang sihat, di mana kadar pengangguran pada tahun lalu didapati terkawal di bawah paras 3.5 peratus.
Dalam pada itu, peningkatan kos juga memberi kesan kepada kenaikan harga pada tahun lalu, apa yang disebut sebagai inflasi tolakan kos.
Peningkatan kos pula terutama disumbangkan oleh kelemahan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Keadaan ini memberi kesan kepada nilai import yang biasanya didenominasi di dalam dolar.
Ini di samping memberi kesan langsung ke atas harga barangan pengguna, turut meningkatkan harga barangan perantaraan yang digunakan untuk mengeluarkan barangan pengguna.
Justeru, kos pengeluaran akan meningkat yang biasanya akan ditolak kepada pengguna, di dalam bentuk peningkatan harga barangan akhir.
Walaupun nilai ringgit mengalami kenaikan berbanding dolar pada tahun lalu, namun ia masih di bawah nilainya yang lebih stabil berbanding dolar pada 2015.
Sepanjang tahun lalu, nilai ringgit meningkat sebanyak lebih kurang 10 peratus berbanding dolar.
Oleh kerana nilai ringgit berbanding dolar masih di bawah paras kestabilan pada 2015, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada paras harga untuk 2017.
Nilai ringgit berbanding dolar mula menyimpang dari nilai kestabilan pada 2015 apabila minyak mentah dunia mengalami krisis kejatuhan harga.
Selain dari kelemahan nilai ringgit, harga minyak turut mempengaruhi kadar inflasi pada tahun lalu.
Kaedah penentuan harga minyak secara mingguan berdasarkan harga pasaran melihat indeks pengangkutan di dalam IHP mengalami turun naik yang ketara.
Sepanjang 2015 hingga 2016, indeks pengangkutan mengalami penurunan, iaitu merekodkan kadar purata pertumbuhan negatif, kerana kejatuhan harga minyak mentah dunia.
Pada 2015 purata pertumbuhan indeks pengangkutan di dalam IHP adalah 4.5 peratus dan pada 2016 adalah 4.4 peratus.
Namun pada 2017, harga minyak mentah dunia mula meningkat, walaupun masih jauh di bawah harga sebelum krisis, apabila Pertubuhan NegaraNegara Pengeksport Petroleum (OPEC) berjaya mengenakan kuota pengeluaran kepada aahlinya yang turut disokong oleh beberapa negara pengeluar utama bukan OPEC termasuk Russia.
Sudah tentu kesan akhirnya melihat harga minyak di pam turut meningkat.
Oleh yang demikian, indeks pengangkutan mencatatkan peningkatan yang mendadak pada tahun lalu dengan purata pertumbuhan dua angka iaitu 13.4 peratus.
Kaedah penentuan harga minyak mengikut harga pasaran adalah sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi yang perlu untuk meningkatkan kecekapan ekonomi jangka panjang, walaupun terpaksa menghadapi kesan jangka pendek termasuk kenaikan harga.
Peningkatan harga pengangkutan sudah pasti memberi kesan positif kepada kos pengeluaran dan seterusnya diterjemahkan kepada peningkatan paras harga barangan pengguna.
Kesan turun naik indeks pengangkutan jelas mempengaruhi corak IHP kerana pemberatnya terhadap IHP yang agak tinggi, iaitu 13.7 peratus.
Kadar inflasi IHP terbahagi kepada dua komponen, iaitu inflasi teras dan inflasi bukan teras. Berbeza dari dua tahun sebelumnya, kadar inflasi IHP untuk 2017 disumbangkan sebahagian besarnya oleh inflasi bukan teras. Manakala, kadar inflasi untuk 20152016 sebahagian besarnya disumbangkan oleh inflasi teras.
Inflasi teras adalah kadar inflasi yang tidak mengambil kira perubahan sementara di dalam harga. Ini dilakukan dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang harganya mengalami turun naik daripada pengiraan indeks.
Justeru, barangan dan perkhidmatan yang harganya stabil termasuk di dalam inflasi teras. Manakala, barangan dan perkhidmatan yang harganya mengalami turun naik termasuk di dalam inflasi bukan teras. Antara lain, pengangkutan termasuk di dalam inflasi bukan teras.
Pada tahun lalu, daripada purata kadar inflasi 3.9 peratus,
3.0 mata peratusan disumbangkan oleh inflasi bukan teras berbanding sumbangan dari inflasi teras sebanyak 0.9 mata peratusan.
Corak ini berbeza dari 2016 di mana sebahagian besar kadar inflasi dengan purata 2.1 peratus adalah disumbangkan oleh inflasi teras dengan 1.5 mata peratusan, berbanding dengan 0.6 mata peratusan sumbangan inflasi bukan teras.
MIER mengunjurkan kadar inflasi untuk tahun ini adalah lebih rendah berbanding tahun lalu. Ini adalah kerana keduadua faktor, tarikan permintaan dan tolakan kos, dijangka lebih lemah.
Permintaan domestik dijangka tumbuh dengan lebih perlahan. Antara lain, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh
Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperlahankan pertumbuhan permintaan domestik.
Sementara itu, harga minyak mentah yang lebih stabil dijangka akan memberi tekanan menurun kepada indeks pengangkutan di dalam IHP.
Nilai ringgit yang terus kukuh berbanding dolar juga turut memberi tekanan menurun kepada kos pengeluaran kerana harga import barangan perantaraan menjadi lebih murah.